Siakap Keli
casablanca
Kredit: Spotify, Unsplash

“Denyut Jantungku Berdebar…”, Lagu Trending ‘Hantui’ Netizen, Apa Sebenarnya ‘Casablanca’?

“Denyut jantungku berdebar…”. Itulah petikan lirik lagu Casablanca yang mula ‘menghantui’ pendengar akhir-akhir ini sehingga menjadi trending di mana-mana.

Ketika mula-mula mendengar lagu ini, ramai yang menyangka bahawa ia berasal dari Timur Tengah. Ketika bahagian korus, melodi yang disangkakan lagu luar negara ini rupanya lagu tempatan.

Demikianlah kisah lagu Casablanca, dendangan Nuha Bahrin dan Naufal Azrin yang mula menjadi trending di mana-mana media sosial netizen Malaysia sejak akhir-akhir ini. Sekali dengar, boleh ‘melekat’ dalam kepala jadinya.

Kredit: Spotify

Sedikit info, lagu yang memiliki unsur-unsur Arab ini merupakan ciptaan Daqmie dan lirik oleh Abdul Karim Al Ali. Setakat ini, ia telah mencapai kedudukan ke-13 Spotify Top 50 Indonesia serta mendapat tempat tempat pertama di JOOX Malay Hits.

Dalam Apple Music Top 100 pula, Casablanca menduduki tempat kedua. Lagu ini juga mengukir sejarah muzik negara apabila menjadi lagu Malaysia pertama  paling tular dengan menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia. 

Apabila lagu ini banyak kali didendangkan dalam corong radio tempatan serta ‘digilai’ segenap warga netizen di media sosial, pastilah anda pernah terfikir kan apa itu Casablanca sebenarnya?

Apa itu Casablanca?

Gambar: iStock/Unsplash via Google

Casablanca sebenarnya merupakan salah satu wilayah yang terletak di Maghribi atau Morocco. Merujuk artikel Infos Tourisme Maroc, dalam masa beberapa tahun, Casablanca telah membangun daripada sebuah bandar kecil kepada salah satu bandar terbesar di dunia.

Hal ini disebabkan bentuk baru pembinaan seni bina moden yang digunakan. Selain itu, bandar ini juga telah menjadi pusat perindustrian dan komersial utama yang lebih terbuka kepada cara hidup Barat berbanding bandar-bandar lain di Maghribi.

Casablanca kini merupakan ibu kota ekonomi Maghribi dan merupakan bandar terbesarnya. Ia terletak di pantai Atlantik dan bersempadan dengan pantai yang indah yang menjadikannya destinasi tepi laut yang sentiasa kompetitif.

Kedudukannya kira-kira 80 kilometer (km) di selatan Rabat. Dengan rekod populasi 3,594,352 orang pada tahun 2021, ia menjadikannya bandar paling ramai penduduk di Maghribi. Casablanca merupakan bandar pelancongan ketiga paling popular di negara itu dan kebanyakannya dikunjungi untuk tujuan perniagaan.

Kredit: Infos Tourisme Maroc

Terdapat pelbagai aspek yang menarik di Casablanca, iaitu landskap yang menakjubkan, gaya hidup, seni bina, kraf, pertemuan budaya dan bermacam-macam lagi. Jadi jika anda berkunjung ke sana, kedatangan anda akan memberikan lebih nilai emosi, pengetahuan berserta memori yang tidak terkira jumlahnya.

Selain itu, Casablanca juga menempatkan salah satu masjid terbesar dan tercantik di dunia iaitu Masjid Hassan II. Masjid ini merupakan simbol sebenar bandar ini dengan memiliki menara terbesar (210 m) di Afrika dan merupakan masjid kelima terbesar di dunia. Masjid Hassan II juga adalah salah satu masjid yang dibuka juga kepada orang bukan Islam dalam dunia Arab.

Kredit: Infos Tourisme Maroc

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga Morocco Mall di Casablanca, iaitu sebuah pusat beli-belah terbesar di Afrika dan salah satu yang terbesar di dunia yang memiliki air pancut muzikal ketiga terbesar di dunia (menurut Infos Tourisme Maroc).

Secara kesimpulannya, bandar ini  telah menggabungkan elemen tradisi seni bina Maghribi asal dengan perancangan bandar moden. Hal ini telah meningkatkan standard keselesaan dan memberikan satu pengaruh besar kepada semua pengunjung untuk datang ke Casablanca.

Patutlah bandar ini dijadikan sebagai tajuk lagu berkenaan. Lagu cinta biasanya dikaitkan dengan tempat-tempat yang romantik untuk menyampaikan makna ‘cinta’ yang lebih mendalam. Jika anda berpeluang untuk pergi ke Casablanca bersama insan tersayang, jangan lepaskannya.

Mungkin ia akan menjadi kenangan yang paling manis dalam diari hidup anda. Bagi yang belum berpunya juga tiada masalah untuk ke Casablanca kerana suasananya mampu melepaskan tekanan semasa bekerja.

Lepas baru dapat tahu apa itu Casablanca sebenarnya, rasa-rasa jantung berdenyut berdebar tak?

Gambar: Dreamstime via Google
Gambar: Heather on her Travels via Google

Sumber: Infos Tourisme Maroc 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.