Seorang pelancong dari Britain maut selepas terkena bilah sebuah helikopter yang dinaiki bersama kakak dan abangnya di helipad (tapak mendarat helikopter) Spata, Greece baru-baru ini, lapor Daily Mail.
Kejadian ngeri itu berlaku kira-kira jam 6.20 petang waktu tempatan pada semalam ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang dari Mykonos ke Athens sekeluarga.
Difahamkan, mangsa yang berusia 21 tahun itu menaiki pengangkutan udara tersebut bersama abang dan kakaknya, manakala ibu ayah mereka pula menaiki sebuah lagi helikopter persendirian yang mengekori dari belakang.

Pada awalnya, mangsa dilaporkan berjalan di bahagian belakang helikopter jenis Bell 407 sewaktu enjin masih dihidupkan ketika berada di helipad tersebut.
Bagaimanapun malang tidak berbau, tubuhnya terkena pada bilah helikopter yang sedang berpusing laju, sekaligus mengakibatkan mangsa ‘tercincang’ serta-merta.
Menyedari tragedi ngeri itu, helikopter kedua yang membawa ibu bapa mangsa juga terpaksa mendarat cemas dan memberikan amaran kepada rakan sekerja melalui radio tentang kejadian itu.

Dalam masa sama, adik-beradiknya yang lain yang turut berada di tempat kejadian hanya mampu menyaksikan tragedi berdarah sekelip mata itu dengan ketakutan.
Bagaimanapun ketika bantuan kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia serta merta akibat dicincang kipas berkelajuan tinggi berkenaan.

Dalam pada itu, pengendali helikopter tersebut telah ditangkap atas tuduhan membunuh, manakala dua juruteknik darat turut ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Menurut pihak polis, ketika di lokasi kejadian, pintu helikopter itu sengaja tidak dikunci supaya sesiapa sahaja boleh keluar jika mahu.
Hasil siasatan polis dan kerjasama pihak berkuasa penyiasatan kemalangan penerbangan bebas serta perkhidmatan penerbangan awam memfokuskan kepada juruterbang terbabit yang difahamkan memberitahu mangsa untuk turun.

Menurut laporan polis kepada The Sun, “Tragedi tersebut masih dalam siasatan dan puncanya belum dapat dijelaskan,”
Pihak polis bagaimanapun tidak mendedahkan identiti keluarga terbabit kepada awam, namun dikhabarkan mereka berasal daripada golongan kaya.
Sehingga kini, polis Greece masih menjalankan siasatan berkenaan mengapa penumpang itu dibenarkan keluar dari helikopter yang kipasnya masih berputar.
Keluarga itu berharsat untuk mendarat di helipad Superior Air sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Eleftherios Venizelos menaiki jet peribadi keluarga untuk pulang ke United Kingdom.

Sumber Daily Mail