Siakap Keli
sahara amazon
Gambar: Google

Ibarat Cinta Jarak Jauh, Kenapa Gurun Sahara Begitu Penting Untuk Kesuburan Hutan Amazon?

Gurun Sahara ialah kawasan berpasir kecoklatan yang hampir tidak terputus dan terbentang luas merentasi sepertiga utara Afrika. Manakala Hutan Hujan Amazon pula adalah hutan hujan yang tebal dan lembap yang membentuk kawasan timur laut Amerika Selatan.

Jadi, apakah yang menghubungkan dua dunia berbeza, kawasan padang pasir yang kering dengan hutan tebal menghijau ini?

Selepas angin kencang meniup permukaan Sahara, ‘awan’ berwarna perang akan memenuhi ruang udaranya, merentasi benua tersebut. Awan ini kemudiannya mempertemukan dua kawasan berbeza, ibarat pasangan kekasih yang terpisah dalam percintaan jarak jauh. Apakah awan itu? Awan itu tidak lain tidak bukan, adalah debu dari Sahara.

Gambar: Kompas.com

Pada 2015, satelit NASA buat pertama kali berjaya mengukur berapa banyak debu dari Sahara dalam tiga dimensi terban dalam pengembaraan trans-Atlantik ini. Para saintis bukan sahaja mengukur jumlah debu, mereka juga telah mengira berapa banyak fosforus, iaitu saki baki bahan mineral dalam pasir Sahara daripada bahagian tasik yang pernah wujud suatu ketika dahulu, dibawa merentasi lautan dari salah satu tempat paling terpencil di planet ini ke salah satu tempat yang paling subur.

Satu jurnal Geofizikal Kesatuan Amerika yang telah diterbitkan Februari tahun yang sama memberi anggaran berapa banyak fosforus diangkut selama bertahun-tahun, berdasarkan imej satelit yang berjaya dirakam NASA.

Menurut kajian berkenaan, perjalanan rentas benua ini sangat penting kerana ‘benda’ yang terdapat dalam debu itu. Lebih-lebih lagi debu-debu yang diterbangkan daripada Bodele Depression di Chad, tasik lama dimana mikrorganisma mati membentu batuan mineral yang penuh dengan dengan fosforus. Fosforus ialah nutrien penting untuk hidupan hijau membesar, dimana Amazon sangat bergantung kepadanya untuk terus wujud.

Gambar via NASA Goddard Scientific

Pelbagai nutrisi, seperti yang ada di dalam baja komersial, dalam tanah Amazon adalah terhad. Sebaliknya, nutrisi-nutrisi ini tersimpan di dalam batang-batang pokok tersebut itu sendiri. Daun-daun yang gugur dan juga pelbagai bahan organik lain apabila terurai diserap dengan pantas oleh pokok-pokok kembali. Tetapi, beberapa nutrisi, seperti fosforus memerlukan masa yang lebih lama untuk diserap, namun sering kali dihanyutkan oleh hujan lebat atau banjir yang membawanya ke sungai-sungai yang ada.

Dianggarkan, setiap tahun sebanyak 22,000 tan fosforus diterbangkan dari Sahara ke Amazon, menggantikan jumlah yang sama yang hilang sewaktu hujan dan banjir.

“Kita tahu yang debu sangat penting dalam banyak cara. Ianya komponen penting dalam sistem Bumi. Debu akan memberi kesan kepada iklim, dan masa yang sama perubahan iklim akan memberi kesan kepada debu.

“Pertama kita kena menjawab dua pertanyaan asas. Berapa banyak debu yang dipindahkan dan apa hubungan antara jumlah debu dipindahkan dan petunjuk iklim,” kata Hobin Yu, salah seorang penyelidik dalam kajian tersebut.

Data yang diperolehi menunjukkan angin dan cuaca menerbangkan secara purata 182 juta ton debu setiap tahun dalam laluan yang merentasi pinggir barat Sahara pada longitud 15W. Jumlah ini bersamaan dengan 689,290 trak-semi yang diisi dengan debu.

Gambar: Peru Reports

Debu-debu ini kemudian terbang merentasi Laut Atlantik sejauh 1,600 batu, sebahagiannya ada yang jatuh ke permukaan atau turun bersama hujan. Menghampiri pantai timur Amerika Selatan, pada longitud 35W, hampir 132 juta ton debu dianggarkan masih kekal di udara.

Sebanyak 27.7 juta ton, jumlah yang cukup untuk mengisi 104,908 trak-semi, mendarat di permukaan Amazon. Manakala, lebih kurang 43 juta ton debu bergerak lebih jauh dan mendarat di Lautan Caribbean, pada longitud 75W.

“Dunia ni kecil, dan kita semuanya terhubung bersama,” kata Yu lagi.

Debu yang berada di Sahara memberi banyak manfaat kepada hutan hujan Amazon. Hubungan itu, mengubah perubahan iklim di dunia secara global. Walaupun kedudukan Amazon dan Sahara begitu jauh, namun pergerakan debu yang dibawa angin telah memberi kesan yang positif kepada hutan hujan Amazon.

 

 

Sumber: NASA TV

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.