Siakap Keli
negara elektrik tertinggi di dunia
Kredit: Pixabay & Pexels

Ketahui Lima Negara Dengan Penggunaan Elektrik Tertinggi Di Dunia

Kadar penggunaan tenaga elektrik di dunia meningkat dengan lebih drastik daripada jangkaan. Ia diukur dalam unit kilowatt per jam dan mewakili jumlah tenaga yang telah digunakan dalam satu jangka masa. 

“Araf, kau punya pasal lah ni. Suka main social media, sampai takde elektrik dekat tempat aku,” kata Musliha.

“Eh, salah aku pulak. Kaulah selalu scroll sampai dua tiga jam. Padahal tak beli apa-apa pun. Letak dalam bakul je,” balas Araf kepada kenyataan Musliha sebentar tadi.

Disebabkan satu tempat kerja mereka mengalami ‘blackout’ secara tiba-tiba, mereka tidak dapat meneruskan tugasannya pada hari ini. Mereka hanya mampu berseloroh atas apa yang berlaku, walaupun terpaksa berpanasan selama sejam.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Begitulah reaksi penduduk Malaysia, khususnya Lembah Klang apabila digemparkan dengan insiden ‘blackout‘ secara tiba-tiba siang tadi. Kebanyakannya sedang melakukan tugasan di tempat kerja dan gangguan itu berlaku dalam lingkungan satu jam.

Sepanjang duduk dalam kepanasan tadi, pernahkah anda terfikir berapa banyak tenaga elektrik yang digunakan dalam seharian. Memandangkan kehidupan kita sekarang tidak boleh lari daripada penggunaan internet pada setiap masa, maka kita akan sentiasa menggunakan tenaga elektrik hampir setiap saat.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Penggunaan tenaga elektrik secara global

Kadar penggunaan tenaga elektrik secara global berterusan meningkat di seluruh dunia dan majoriti tenaga ini dijana melalui pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan minyak.

Walau bagaimanapun, penggunaan sumber tenaga bersih sedang ditingkatkan oleh banyak negara ketika dunia sedang menangani kesan perubahan iklim. Tenaga boleh diperbaharui, nuklear dan sumber bukan bahan api fosil yang lain kini semakin meningkat dalam penggunaan tenaga global.

Bilangan negara yang menggunakan bahan api fosil secara eksklusif telah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kebanyakan negara kini mengutamakan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pergantungan mereka terhadap bahan api fosil yang bersifat tidak mesra alam.

Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti  angin, solar dan kuasa hidro diramalkan akan menyumbang lebih separuh daripada pengeluaran elektrik di seluruh dunia menjelang 2035.

Adakah negara kita merupakan salah satu negara yang memiliki tahap penggunaan elektrik tertinggi di dunia? NS Energy memprofilkan lima negara teratas dunia dalam penggunaan elektrik dan asal usul tenaganya.

Untuk mendapatkan jawapan, mari kita lihat senarai lima buah negara yang memiliki tahap penggunaan elektrik tertinggi di dunia.

China

Gergasi Asia, China telah mendahului senarai dunia dalam penggunaan elektrik dengan menggunakan lebih daripada 6.3 trilion kilowatt tenaga sejam setiap tahun. Negara tersebut didakwa merupakan pengeluar dan pengguna arang batu terbesar dunia. Namun begitu, China telah mengalihkan tumpuannya kepada penggunaan gas asli dan sumber boleh diperbaharui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Grid Negeri dan Grid Kuasa Selatan China adalah dua grid bagi dua kawasan mengikut luas negara tersebut. Grid kuasa utara telah diseragamkan pada tahun 2005 dan semua wilayah China telah memiliki tenaga yang saling berkait sejak 2011. China merupakan pengimport minyak dan gas asli terbesar di dunia dan telah menyumbangkan 24 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga global.

Amerika Syarikat (AS)

Amerika Syarikat menduduki tempat kedua dalam senarai penggunaan tenaga elektrik di dunia dengan penggunaan lebih daripada 3.9 trilion kilowatt sejam (kWj) setiap tahun. Penggunaan elektrik di negara itu dilaporkan telah melonjak 13 kali ganda sejak 1950 dan penggunaan tersebut diramalkan akan terus meningkat dalam beberapa dekad akan datang.

Jumlah penggunaan tenaga di AS telah mengalami pertumbuhan yang stabil sejak 1975 dan mencapai tahap tertinggi sepanjang masa pada 2018. Pengeluaran tenaga AS sebagai bahagian penggunaan dijangkakan meningkat kepada 115 peratus menjelang 2040, menurut Tinjauan Tenaga 2019.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

India

Sebagai negara kedua dunia dengan populasi teramai di dunia, India mendapat kedudukan ketiga dengan 1.54 trilion kWj dalam masa setahun. Kadar penggunaan tenaga elektrik di negara ini dijangkakan akan mencecah 4 trilion unit menjelang 2030.

Sektor tenaga elektrik negara ini telah didominasi dengan penggunaan bahan api fosil, khususnya arang batu. Kerajaan India sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dengan sasaran kapasiti 175 GW menjelang 2022.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Rusia

Kadar penggunaan tenaga elektrik di Rusia telah meletakkannya di tempat keempat dengan penggunaan 1.06 trilion kWj setahun. Rusia mempunyai sumber tenaga yang banyak dan mempunyai rizab gas asli terbesar yang dikenali dunia. Negara ini adalah pengeluar minyak terbesar dalam kalangan negara bukan OPEC dan kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Sebagai salah satu daripada 10 pengeluar dan pengguna arang batu di dunia, Rusia telah melakukan usaha besar untuk pelaburan untuk tenaga boleh diperbaharui dengan lebih meluas walaupun terdapat dominasi penggunaan bahan api fosil dalam campuran tenaganya.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Jepun

Jepan merupakan negara kelima dengan kadar penggunaan tenaga elektrik tertinggi di dunia iaitu 0.93 trilion kWj setiap tahun. Negara tersebut telah lama menjadi pengguna utama serta pengimport tenaga. Jepun juga merupakan pengguna minyak ketiga dan pengguna arang batu keempat terbesar di dunia.

Jepun mempunyai grid timur dan barat yang berasingan, tidak seperti kebanyakan negara perindustrian lain yang biasanya mempunyai satu grid nasional tunggal sahaja.

Selepas bencana nuklear Fukushima Daiichi pada Mac 2011, Jepun telah mengalami peningkatan drastik dalam penggunaan elektrik dan penghasilannya. Negara ini banyak bergantung pada tenaga hidroelektrik storan pam untuk mengimbangi permintaan dan bekalan.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Berikut merupakan lima buah negara dengan kadar penggunaan tenaga elektrik tertinggi di dunia. Negara kita tidak termasuk dalam senarai kerana berkemungkinan rakyat Malaysia sangat berhemah ketika menggunakan peralatan elektrik.

Nota penulis: Hasil didikan ibu bapa yang tegas telah melahirkan generasi yang berhemah. Ingat lagi, biarkan peti sejuk terbuka lebih lima saat pun dah kena marah, aih..

Sumber: NS Energy

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.