Siakap Keli
Lembah Klang 'Blackout'

Lembah Klang ‘Blackout’, Netizen Kongsi Suasana Gelap ‘Shopping Mall’ & Beberapa Kawasan Terkesan

Lembah Klang ‘Blackout’, Netizen Kongsi Suasana Gelap ‘Shopping Mall’ & Beberapa Kawasan Terkesan

Sejak tengah hari tadi, beberapa kawasan di Lembah Klang dipercayai tiada bekalan elektrik sehingga menganggu kelancaran urusan orang ramai.

Malah sebentar tadi TNB Careline telah mengesahkan kejadian tersebut dan kini pihaknya sedang mengenal pasti punca kejadian.

Menerusi entri terbaharu di Facebook, TNB Careline juga memaklumkan antara kawasan yang terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

“Beberapa kawasan di semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12.39 tengah hari ini melibatkan 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan,” katanya.

Sementara itu, media sosial dipenuhi dengan kiriman dari netizen yang berkongsi situasi semasa di kawasan mereka.

Tidak cuma itu, lokasi-lokasi tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah dan lapangan terbang didakwa turut mengalami gangguan bekalan elektrik. Antara yang terlibat adalah Sunway Pyramid, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLCC.

Pihak Malaysia Airports telah mengeluarkan permohonan maaf di atas gangguan elektrik tersebut selain mengharapkan penumpang yang bakal berlepas ke destinasi masing-masing kekal bersabar, lapor Kosmo.

“Pasukan kejuruteraan kami sedang berhubung dengan TNB untuk menyelesaikan masalah ini.

“Para penumpang diminta untuk berhubung dengan pasukan kami di lapangan untuk bantuan segera selain diminta untuk kekal tenang,” kata Malaysia Airports dalam kenyataan di Facebook.

Lebih merisaukan, lampu isyarat di beberapa kawasan di ibu negara turut tidak berfungsi akibat gangguan bekalan elektrik itu.

Memetik laporan Kosmo, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan Petugas Warden Trafik untuk mengawal dan mengawasi lalu lintas di jalan-jalan utama di ibu negara.

“Insiden menyebabkan lampu isyarat di sekitar ibu negara tidak berfungsi dan mengalami gangguan.

“Justeru itu, Petugas Warden Trafik telah diarahkan untuk mengawal dan mengawasi aliran trafik di jalan-jalan utama di ibu negara,” kata DBKL.

Terbaharu, TNB menerusi media sosial telah menyatakan bahawa bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada jam 3:02 petang telah berjaya dipulihkan.

Menurut siasatan yang dijalankan, TNB mendapati bahawa gangguan bekalan yang bermula pada jam 12:39 tengahari ini berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Kerosakan tersebut telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Pihaknya juga turut berkesempatan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.

Sumber: TNB, Kosmo

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.