Klip video seorang jurubank bernama Shen Dong yang menyelamatkan kanak-kanak telah dikongsi oleh jurucakap Kementerian Luar Negeri China menerusi laman Twitter dan menjadi tular di media sosial China, lapor CNA.

Naluri seorang bapa tidak pernah salah alamat. Pada 19 Julai, seorang lelaki di bandar Tongxiang, Wilayah Zhejiang, dikenal pasti sebagai seorang staf bank, 31 tahun telah menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan daripada terjatuh dari ketinggian yang luar biasa.
Video itu dikongsi oleh Zhao Lijian, Timbalan Pengarah di Chinese Ministry of Foreign Affairs Information Department menerusi akaun Twitternya. Perkongsian itu disertai dengan kapsyen “Heroes among us”. Dalam video tersebut, kelihatan jelas sosok Shen yang sedang berlari ke arah bangunan tersebut sambil menghubungi seseorang menerusi telefonnya bersama dengan seorang wanita.
Walaupun tergelincir di atas lantai buat seketika, Shen telah mencampakkan telefon bimbitnya ke tepi dan berjaya menangkap kanak-kanak yang ditunjukkan telah terjatuh daripada tingkat enam bangunan tersebut.
Heroes among us. pic.twitter.com/PumEDocVvC
— Lijian Zhao 赵立坚 (@zlj517) July 22, 2022
Klip berdurasi 13 saat yang telah dimuat naik oleh Zhao pada 22 Julai itu telah mendapat jumlah 11,800 likes berserta komen-komen yang menyanjung Shen di atas keberaniannya. Shen bersama wanita yang tidak dikenali itu juga mendapat gelaran ‘hero’ daripada warganet di China.
Ada juga pengguna Twitter yang berseloroh dengan mengatakan, “Dapatkan kontrak Liga Bola Sepak Kebangsaan untuk lelaki itu . Saya tahu beberapa pasukan yang memerlukan penjaga gol yang bagus.”
Kronologi Insiden Kanak-Kanak terjatuh daripada Tingkat Enam
Menurut laporan daripada media tempatan, kanak-kanak itu terjatuh daripada pangsapuri enam tingkat selepas memanjat ke atas sebuah bangku. Kanak-kanak itu sempat berpaut pada teres keluli pada tingkat pertama. Namun, cengkaman tangannya tidak dapat bertahan lagi dan terjatuh lagi sekali dan akhirnya ditangkap oleh Shen.
Sebelum kejadian itu, Shen baru sahaja meletakkan kenderaannya di parkir kereta ketika bunyi dentuman kedengaran. Beliau sedang menghubungi unit kecemasan semasa ternampak kanak-kanak itu berpaut pada tingkat pertama. Lelaki tersebut segera mencampakkan telefonnya dan menangkap kanak-kanak itu apabila mangsa gagal untuk terus berpaut pada bahagian bangunan tersebut.
“Saya percaya sesiapa sahaja boleh tampil untuk menangkap kanak-kanak perempuan itu,” kata Shen kepada media tempatan. “Saya berada di sana pada masa yang tepat.
“Nama mangsa tersebut adalah Xinxin. Secara kebetulan, anak perempuan saya juga bersama Xinxin. Malah ejaannya dalam karakter Hanzi juga sama,” katanya.
Berita baiknya, kanak-kanak itu terselamat dan mengalami beberapa kecederaan pada kaki dan paru-parunya, disifatkan tidak begitu serius. Shen sendiri tidak mengalami sebarang kecederaan kerana tuan badan menyifatkan dirinya sebagai “seorang yang selalu bersenam”.
Kanak-kanak itu telah menerima rawatan di Tongxiang Second People’s Hospital dan dibenarkan keluar pada hari yang sama.
Beliau memberitahu Qianjiang Evening News, “Naluri yang membantu saya untuk menyelamatkannya. Nasib baik saya berjaya bertindak tepat pada masanya,”
Berikut merupakan video penuh bagi insiden tersebut.
Sumber: CNA