Detik Cemas, Skrin Gergasi Jatuh Hempap Kepala Penari Tengah Buat Persembahan
Sebuah skrin gergasi dilaporkan terhempas semasa konsert hingga menyebabkan kecederaan kepada dua orang penari ketika melakukan persembahan bersama kumpulan Mirror.
Difahamkan, dua penari lelaki tersebut telah dihantar dari Hong Kong Coliseum di Hung Hom ke Hospital Queen Elizabeth pada malam Khamis, 28 Julai 2022, lapor SCMP.
Menurut pihak hospital, salah seorang penari itu mengalami kecederaan pada bahagian leher dan berada pada tahap yang serius. Dia kini sedang dirawat di unit rawatan rapi. Manakala penari lain mengalami kecederaan di kepala dan berada dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, tiga penonton wanita berumur 16, 21 dan 40 tahun juga dirawat di hospital kerana mengalami masalah ‘terkejut’ yang agak kronik.
Memetik SCMP, konsert tersebut merupakan siri keempat kumpulan itu daripada 12 siri yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan mengarahkan baki konsert tersebut digantung sehingga set pentas itu dapat dipastikan benar-benar selamat.
Ketua Eksekutif John Lee Ka-chiu dalam satu kenyataan berkata, dia juga terkejut dengan kemalangan itu dan mengarahkan Biro Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan serta pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh punca kemalangan itu.
Selain itu, dia juga mengarahkan pihaknya untuk menyemak keperluan keselamatan untuk pastikan perlindungan semua yang terlibat dalam acara seperti itu termasuk penghibur, pekerja dan penonton terjamin.
“Saya menzahirkan rasa simpati kepada mereka yang cedera dan berharap mereka akan pulih dengan segera,” ujarnya, lapor SCMP.
BACA: Gajah Disangka Ganggu Penduduk, Rupanya Nak Minta Bantuan Anak Jatuh Dalam Telaga
BACA JUGA: Disimbah Petrol & Dibakar Depan Anak, Wanita Meninggal Dunia Selepas Bertarung Nyawa 24 Hari
Sumber: SCMP