Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) melaporkan bahawa sisa serpihan (debris) roket Long March 5B (CZ-5B) milik China jatuh terhempas di Laut Sulu awal pagi tadi.
MYSA dalam satu kenyataan berkata, pemantauan berterusan dilakukan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOST) melalui MYSA sendiri, selain kenyataan dirujuk pada Agensi Angkasa China.
“Kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik negara China ke ruang udara Bumi telah dikesan berlaku pada 12:55 tengah malam tadi waktu Malaysia.
“Serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara Bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar berkenaan turut melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk melintasi ruang udara sekitar Sarawak.
“Sisa serpihan yang terbakar berkenaan telah direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu, iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah utara dan longitud 119.0 darjah timur,” maklum kenyataan itu.
Sementara itu, menurut laporan The New York Times, US Space Command mengesahkan serpihan roket Long March 5B (CZ-5B) milik China itu memasuki atmosfera Bumi di atas Lautan Hindi.
Agensi Angkasa China menerusi Weibo memaklumkan, kebanyakan serpihan roket itu mula terbakar sejurus melalui ruang udara Laut Sulu.
Malah agensi-agensi media tempatan turut melaporkan beberapa rakaman serpihan berkenaan yang dilihat melalui ruang udara sekitar Sarawak yang turut disaksikan oleh kebanyakan penduduk negeri itu.
“US Space Command mengesahan Long March 5B (CZ-5B) milik Republik Rakyat China memasuki Lautan Hindi pada 10:45 pagi (waktu timur) 30 Julai (semalam).
“Kami merujuk anda kepada #PRC untuk mendapatkan butiran lanjut tentang aspek teknikal kemasukan semula seperti lokasi kesan penyebaran dan serpihan yang berpotensi (jatuh),” maklum agensi itu di Twitter.
#USSPACECOM can confirm the People’s Republic of China (PRC) Long March 5B (CZ-5B) re-entered over the Indian Ocean at approx 10:45 am MDT on 7/30. We refer you to the #PRC for further details on the reentry’s technical aspects such as potential debris dispersal+ impact location.
— U.S. Space Command (@US_SpaceCom) July 30, 2022
Sementara itu, Pentadbir National Aeronautics and Space Administration (NASA), Bill Nelson menegaskan pada Sabtu bahawa China tidak berkongsi maklumat mengenai kejadian itu mengenai serpihan Long March 5B bakal jatuh ke Bumi.
“Perkongsian maklumat awal membolehkan ramalan dilakukan mengenai potensi dan risiko kesan serpihan itu, terutamanya roket itu yang berisiko menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya memetik The New York Times.
Dalam satu kenyataan, Bill menyatakan roket berkenaan pada awalnya bergerak ke orbit modul makmal yang ditambah ke stesen angkasa China, Tiangong.
Kebiasaannya, penggalak besar roket itu akan serta-merta jatuh kembali ke Bumi selepas ia dibuang, namun peringkat teras roket seberat 23 tan itu telah bergerak dari stesen angkasa ke orbit.
Perkara itu menyebabkan roket itu bergeser dengan udara pada bahagian atas atmosfera sehingga mula kehilangan ketinggian yang dipanggil ‘kemasukan semula tidak terkawal’ ke bumi.
Tidak dapat dijangka serpihan roket jatuh di mana
Sebelum ini, pemerhati angkasa lepas tidak pasti serpihan tersebut bakal jatuh di mana-mana bahagian Bumi, sama ada di Lautan Hindi, di luar Mexico atau di Atlantik.
Ahli astrofizik di Pusat Astrofizik di Cambridge, Mass, Jonathan McDowell yang menjejaki serpihan angkasa berkenaan berpendapat bahawa orang China mungkin mampu menggunakan strategi yang sama dengan apa yang dilakukan oleh jurutera NASA sejak lebih daripada 40 tahun lalu dengan roket Saturn 1B.
Saturn 1B adalah roket besar dan seperti penggalak Long March 5B, ia tidak mempunyai pendorong untuk mengawal kemasukan semula ke bumi.
“Ia sebenarnya tidak mempunyai enjin roket namun mengeluarkan bahan api bagi menurunkan perigee ke atmosfera,” katanya.
Roket Long March 5B, roket terbesar China

Long March 5B merupakan roket terbesar China dan ia juga telah melakukan perjalanan ke angkasa tiga kali. Roket itu memerlukan ‘kenderaan’ berkuasa besar untuk membawanya ke orbit bagi pemasangan di stesen angkasa.
Pada ujian pertama penerbangan tahun 2020, ia telah membawa naik kapsul angkasawan yang boleh digunakan semula tanpa anak kapal ke orbit.
Ia dilaporkan jatuh di kampung di Ivory Coast di barat Afrika yang menyebabkan beberapa harta benda rosak, namun tiada kecederaan direkodkan ketika itu.
Manakala bagi penerbangan kedua Tianhe iaitu model utama Tiangong pada tahun lepas dan dilaporkan jatuh di Lautan Hindi, menurut modul makmal modul, Wentian.
Tambahan pula, terdapat empat sokongan pada bahagian sisi Long March 5B bagi membawa naik roket itu selepas pelancaran.
Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, kebiasannya roket akan melepaskan muatannya dari orbit selepas enjin dihidupkan dan penyokong roket itu bakal jatuh di kawasan tidak berpenghuni seperti lautan.
Umumnya, 20 peratus hingga 40 peratus roket atau satelit bertahan daripada jatuh semula ke bumi dan kapasiti berat bagi penyokong roket China adalah dari 4,535 hingga 9,071 kilogram sebelum tiba di permukaan bumi.
Sumber: Agensi Angkasa Malaysia – MYSA / The New York Times / Times Now News