Siakap Keli
ketumbit
Gambar: Ketumbit

Malu Mata Tumbuh Ketumbit? Jangan Risau, Cuba Lima Solusi Mudah Ini

Malu mata tumbuh ketumbit? Bimbang dianggap intai orang mandi? Tak yakin nak keluar rumah? Jangan risau, anda boleh cuba lima solusi ini.

Ketumbit merupakan satu benjolan yang timbul pada bahagian atas mata ataupun bawah kelopak mata yang boleh mempengaruhi aktiviti seharian seorang individu.

Kalau dikenangkan balik kepercayaaan orang terdahulu satu ketika dulu, ramai yang menganggap bahawa ia disebabkan oleh perlakuan kita ‘mengintai’ seseorang ketika waktu mandi.

Sama ada ia benar atau tidak, jawapannya masih lagi belum diketahui. Namun secara umumnya, ketumbit akan membuatkan seseorang itu berasa tidak selesa sepanjang hari.

Hal ini demikian kerana benjolan yang terhasil pada bahagian muka memberikan kesan kepada individu tersebut, terutamanya mempengaruhi keyakinan diri untuk berdepan dengan orang.

Sehubungan itu, bagaimanakah cara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan masalah ketumbit kerana ia boleh mengganggu aktiviti harian seseorang?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagi mengatasi masalah ini, mari kita ikuti dengan lebih lanjut menerusi perkongsian yang dibawakan oleh Hello Doktor di bawah.

Malu Mata Tumbuh Ketumbit? Cuba 5 Solusi Mudah Ini, Boleh Bantu Hilangkannya

ketumbit
Gambar: Hello Doktor

Sekiranya anda mempunyai benjolan kecil berwarna merah, kadangkala disertai ‘mata’ putih di dalam atau luar kelopak mata, itulah ketumbit. Apakah cara hilangkan ketumbit mata? Jom baca!

Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Mata di sini.

Ketumbit, mari kenal dengan lebih lanjut

Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, adalah wajar untuk kita semua berkenalan dengan kondisi yang berlaku pada mata ini terlebih dahulu.

Ketumbit merupakan ketumbuhan pada kelopak mata sama ada melibatkan satu mata sahaja atau kedua-dua belah mata.

Ada juga ura-ura yang sering mengaitkannya dengan tabiat mengintai dan pastinya, ia tidak ada kena mengena sama sekali kerana ketumbit berlaku dek jangkitan bakteria Staphylococcus aureus.

Meskipun tidak berbahaya, ia masih berupaya mengganggu aktiviti seharian akibat rasa tidak selesa di samping menjejaskan penampilan anda.

Biasanya, ketumbit ini melibatkan bahagian folikel iaitu akar rambut, atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata.

Tambah lagi, ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis berdasarkan bahagian mata yang terlibat iaitu hordeolum dan chalazion.

Untuk makluman pembaca, hordeolum ketumbuhan akut pada kelopak mata diakibatkan oleh jangkitan kuman.

Manakala, chalazion merujuk kepada halangan kelenjar meibomian, yang berfungsi untuk menghasilkan sejenis cecair berminyak pada bola mata untuk mengelakkan lapisan air mata daripada menjadi kering.

ketumbit
Gambar: Hello Doktor

Kelompok orang yang lebih kerap mengalami hordeolum ialah:

  • Pesakit kencing manis
  • Pesakit seborrhea, penyakit kulit yang menyebabkan kulit kasar dan bersisik
  • Pesakit yang mengalami blepharitis kronik, jangkitan kelopak mata berjangka masa panjang
  • Individu yang tidak menjaga kebersihan kelopak mata

Chalazion pula berpunca daripada masalah kelenjar meibomian dan punca utama adalah lapisan lemak dalam kelenjar yang terlalu melekit dan susah untuk dikeluarkan.

Sebagai contoh, golongan yang mempunyai masalah acne rosacea.

Justeru, apakah cara-cara hilangkan ketumbit yang boleh penghidap lakukan? Teruskan pembacaan!

Cara-cara hilangkan ketumbit mata

#1 Kompres hangat

Kompres hangat boleh menjadi antara kaedah yang paling berkesan dalam merawat ketumbit.

Kehangatannya bantu ‘membawa’ nanah ke permukaan, dan kemudian melarutkan nanah dan minyak lantas membuatkan ketumbit tersebut kering secara semula jadi.

Caranya cukup mudah, basahkan kain yang bersih dengan air yang hangat, pastikan air tidak terlalu panas ya!

Kemudian perah kain hingga tiada lagi air menitis lalu tuam di bahagian mata yang terjejas selama 5 ke 10 minit.

Anda boleh mengamalkan cara hilangkan ketumbit mata ini 3 hingga 4 kali setiap hari.

#2 Cara hilangkan ketumbit mata guna beg teh

Inginkan kaedah yang lebih mudah? Hanya gunakan beg teh yang masih suam!

Jika penyediaan kompres hangat agak merenyahkan buat anda, penggunaan beg teh yang masih hangat juga dapat memberikan kesan yang sama.

Selepas menghabiskan secawan teh ketika minum petang, usah buang beg tehnya dahulu ya.

Dalam keadaan yang masih hangat, sejukkan sedikit lalu letakkan beg teh tersebut pada mata yang terjejas. Biarkan di mata sekitar 5 ke 10 minit.

Dalam banyak-banyak jenis teh, teh hitam berfungsi paling baik dalam mengurangkan pembengkakan di samping mempunyai sifat antibakteria.

#3 Ambil ubat sakit di kaunter

Antara cara nak hilangkan ketumbit yang lain, kalian juga boleh mendapatkan ubat penahan sakit di kaunter seperti ibuprofen atau acetaminophen untuk mendapatkan kelegaan.

Peringatan! Ikuti arahan pada bungkusan untuk memastikan anda mengambil dos yang betul.

Sekiranya ketumbit dialami menyebabkan kesakitan yang serius dan mengganggu aktiviti seharian, temui doktor anda.

Cara hilangkan ketumbit mata #4 Elakkan memakai alat solek dan kanta lekap

ketumbit
Gambar: Hello Doktor

Elakkan memakai alat solek jika anda mempunyai ketumbit kerana solekan boleh membuat keradangan bertambah parah dan melambatkan proses penyembuhan.

Bukan itu sahaja, anda juga berisiko memindahkan bakteria daripada alatan solek kepada mata yang terjejas.

Bagi yang memakai kanta lekap pula, elakkan daripada memakainya sehingga mata kalian sembuh sepenuhnya.

Sama seperti solekan, pemakaian kanta lekap juga berupaya menyebarkan jangkitan.

#5 Cara nak hilangkan ketumbit guna salap antibiotik

Cara hilangkan ketumbit yang ringan pula, anda boleh menggunakan salap antibiotik di kaunter, tetapi anda lebih disarankan untuk menemui pakar jika ia:

  • Terlalu menyakitkan
  • Mengganggu penglihatan
  • Tidak sembuh dengan rawatan di kaunter

Untuk menggunakan salap antibiotik ini, tarik bahagian yang terjejas dan sapukan ia seperempat inci di dalam kelopak mata.

Akhir kata, cara hilangkan ketumbit mata yang paling penting adalah elakkan perbuatan memicit, mencucuk mahupun menyentuh ketumbit sama sekali!

Ini kerana ia mampu menyebarkan jangkitan lantas membuatkan mata terjejas dengan lebih teruk.

Jika anda sayang mata anda, serahkan tanggungjawab itu kepada mereka yang lebih pakar okey!

Sumber: Hello Doktor

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: