Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.08 malam tadi.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi miliknya, Tan Sri Khalid dipercayai menghembuskan nafas terakhir di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala lumpur.
“Dukacita dimaklumkan Ybhg Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah pulang ke rahmatullah pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur. Allahyarham dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, Allahyarham telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
Tambah kenyataan itu lagi, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
“Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah,” kata kenyataan itu.
Setelah itu jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam berikutan titah dan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj.
Allahyarham telah meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.
Salam takziah untuk keluarga Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat rahmat serta kasih sayang dari Allah SWT.
[TERKINI] Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 11.08 malam ini – pengendali Facebook Abdul Khalid Ibrahim
Al-Fatihah pic.twitter.com/c4Dfw4TFtl
— BERNAMA (@bernamadotcom) July 31, 2022
Sumber: Facebook Abdul Khalid Ibrahim