Lelaki Dipercayai Ugut, Pecah Cermin Kereta Wanita Berjaya Diberkas Polis
Seorang lelaki yang dipercayai memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang wanita pada Khamis lalu telah berjaya ditahan semalam, lapor Kosmo.
Menurut laporan, lelaki yang berusia 45 tahun itu telah ditangkap di rumahnya di Nilam Puri di sini kira-kira pukul 6.30 petang.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.
“Berdasarkan pemeriksaan, suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dengan enam daripadanya kes dadah dan satu kes curi.
“Ujian air kencing mendapati, suspek bebas pengambilan bahan terlarang semasa ditahan,” katanya.
Terdahulu, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan digerakkan bagi mengesan dan memburu suspek yang menghilangkan diri.
Sebelum itu, tular rakaman video yang memaparkan suspek memecahkan cermin kereta yang dipandu oleh seorang wanita dalam kejadian di Simpang Empat Limbat, Kota Bharu.
Suspek dipercayai tiba-tiba menghalang laluan dan berhenti di tengah jalan sebelum menghampiri kenderaan mangsa lalu memecahkan cermin kereta serta mengugut mangsa, lapor Bernama.
Sumber: Kosmo