Misteri, Polis Temui Mayat Budak Lelaki Dalam Mesin Basuh
TEXAS, AMERIKA – Seorang kanak-kanak lelaki ditemui maut di dalam mesin basuh beberapa jam selepas ibu bapanya melaporkan kehilangannya pada Khamis lalu, lapor The Daily Beast.
Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang berusia tujuh tahun itu memberitahu, sebelum kehilangan anaknya di rumah, pintu bahagian depan rumahnya berada dalam keadaan terbuka.
Dia terkejut apabila anaknya ditemui mati di dalam mesin basuh rumahnya sendiri oleh pihak berkuasa.
“Saya letakkan kunci pada pemegang pintu dan kemudian saya dapati pintu itu memang telah terbuka,” kata lelaki tersebut.
Dia turut menambah dengan berkata, “apa-apa lagi selepas itu, saya tidak tahu,” jelasnya.
Seorang wartawan bertanya kepadanya sama ada pada masa itu, sekitar jam 11:45 malam pada hari Rabu, adakah anaknya tidak ditemui di dalam rumah itu dan dia menjawab dengan pantas dengan berkata “tidak,” untuk memendekkan perbualan.
Menurut pihak berkuasa, kanak-kanak lelaki itu adalah bekas anak angkat yang diambil pada tahun 2019. Ketika jam 5:30 pagi pada hari Khamis , ibu bapanya telah menghubungi polis untuk melaporkannya hilang dari rumah mereka di Spring.
Pegawai yang bertindak balas tidak melihat sebarang tanda kemasukan secara paksa dan tiada tanda budak lelaki itu berada di kawasan sekitar.
Mereka kemudiannya mula menggeledah rumah dan garaj di mana mereka mendapati budak lelaki itu, dengan berpakaian lengkap sudah tidak bernyawa di dalam mesin basuh.
Penyiasat tidak menyatakan sama ada terdapat air di dalam mesin itu atau sama ada mayat budak lelaki mempunyai sebarang tanda trauma. Oleh itu, bedah siasat akan menentukan punca kematian.
Bapa kanak-kanak itu pula tidak menjelaskan mengapa pihak polis tidak dipanggil dengan segera. Dia dan isterinya dibawa ke balai polis untuk disoal siasat pada hari kejadian itu juga dan kemudiannya telah dibebaskan.
Tiada siapa yang didakwa dengan sebarang jenayah dan kejadian ini juga tidak jelas sama ada kematian budak lelaki itu adalah disebabkan oleh kemalangan atau pembunuhan di mana seseorang meletakkannya di dalam mesin basuh tersebut secara sengaja ataupun tidak.
Sumber: The Daily Beast