Selepas 20 tahun, lelaki teruja, berjaya pancing ikan legenda Tasik Gubir Nami Green Arowana bersaiz gergasi
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan situasi seorang pemancing ini yang telah berjaya menangkap seekor ikan Nami Green Arowana bersaiz ‘gergasi’ baru-baru ini.
Tambah mengujakan, ia merupakan ikan legenda di Tasik Gubir, Sik, Kedah yang dipercayai sudah lebih 20 tahun tidak dilihat.
Menerusi perkongsian Khir Firdaus di Facebook, dia pada awalnya hanya berniat untuk memancing ikan toman dan tidak menyangka dapat menangkap ikan arowana seberat 14lb atau kira-kira 6.3 kilogram itu.
Untuk mengetahui lebih lanjut, mari ikuti perkongsiannya di bawah ini.

LAGENDA GUBIR IS BACK
Mempersembahkan selepas 20 Tahun.
Nami Green Arowana. 14LB
Khazanah Negara.
Trip ke Gubir ini, kami sekadar untuk casting cari manis-manis Toman. Tidak tahu dan tidak pernah tahu langsung pasal ikan lagenda ini di sini. Hari ketiga selepas aku lucut induk toman sebanyak 2 kali. Tompok anak yang keempat lah menjadi cerita dan rezeki yang tidak diduga.
Tompok anak keempat aku pujuk sehingga induk bawa anak masuk ke bawah pokok. Nak baling crank tak boleh, nak baling spinnerbait pun tak boleh sebab group anak agak jauh ke dalam. Dengan penglihatan yang tidak berapa nampak, aku dan tekong nampak samar-samar macam kelibat induk toman berlenggang atas air berdekatan tompok anak. Tiada pilihan aku tanya tekong, aku skipping boleh ke? Tekong cakap try la, mana tahu dia nak ambil topwater.

Balingan pertama tidak ada sambutan. Balingan kedua kelibat macam induk toman kejar SP silencer dan boom! Letop! tapi aku tak nampak sebab agak jauh ke dalam, ikan terus ambil dan terus junam bawa lari. Dalam hati aku, Alhamdulillah induk toman ambil! Strike juga mama toman ni, tapi pecutan ikan ni lain dari biasa, selepas aku pump dan paksa keluar..kelibat badan ikan berwarna putih dalam air, tekong cakap bujang size! Pump terus bawa keluar!
Lepas je keluar dari bawah pokok, satu lompatan akrobatik tinggi berlibas-libas, dalam hati aku ni bukan toman, macam kaloi, tapi takkan kaloi makan SP, selepas fight makin dekat ke boat baru lah jelas. Tekong terus cakap ‘ko tahu tak khir ni ikan apa?
Ni nami arowana! Cepat bawa masuk ke tangguk! 3 ke 4 kali juga ikan ni berlompat-lompat dan pecut untuk lepaskan diri, akhirnya ikan berjaya di landedkan dan kami berpelukan atas boat(hampir-hampir tercium) Tekong bukan main happy. Sebab dia sendiri dari tahun 2009 cari ikan ni tak pernah nampak depan mata apatah lagi dapat landedkan di Tasik Gubir.
Selepas berjaya landed, sekejap saja berita tersebar malam tu. Terus Whatsapp, call, messenger fb asyik masuk. Tanya aku dan tekong. Macam-macam soalan, ada yang siap ucap tahniah, ada yang cerita dari 2005 cari tak dapat-dapat, ada yang happy siap nak belanja makan, nak belanja trip mancing, nak tengok gambar, nak jumpa borak-borak macam mana boleh strike dan bermacam-macam lagi.

Dari info dari orang-orang di sana, dah hampir 20 tahun ikan ni tidak ditemui dan sekadar menjadi cerita-cerita dan digelar ikan Lagenda Gubir. Ada juga orang-orang kampung kat sana terkejut, terharu dan sebak sejak tahu masih ada ikan lagenda ni selepas aku berjaya landedkan.
Alhamdulillah. rezeki dari Allah. Bukan aku yang minta tapi Allah yang maha pemurah yang memberi rezeki. Alhamdulillah, mungkin lesen terbaik aku sejak memancing? Bukan dari segi size tapi dari segi species rare, tahap kepupusan dan semakin sukar nak dapatkan.
Terima kasih juga dengan Tali halus Gagah Mayeep sangat-sangat membantu untuk landedkan ikan ni dengan sempurna. Tali ni dah terbukti ikan rare pun mampu terpikat tahu. Thanks juga kepada Mayeep untuk sponsor trip gubir Kali ni. Bagi aku trip paling sukses sejak memancing di luar.

Bagaimanapun, dalam satu kiriman yang lain, Khir berkata bahawa ikan itu tidak berjaya diselamatkan dan mati dipercayai kerana rahangnya patah.
https://www.facebook.com/khirfirdaus87encikkamera/posts/pfbid02dq8zRiEuTDz1ZynqrDj4YVW9cgXNd8ANqJcYW8P4gmXAVCb6t2yoSzpo7Leh7KW8l
Bagi yang ingin mengetahui atau melihat lebih banyak aksi-aksi ketika Khir memancing, boleh ikuti saluran YouTube miliknya, Encik Kamera.
Sumber: Khir Firdaus