China & Taiwan, Ini ‘Kisah’ Disebalik Konflik & Ketegangannya
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sebelum ini berkata beliau bersedia menggunakan kekerasan untuk mempertahankan Taiwan, bagaimanapun pegawai-pegawai dari Rumah Putih pula berkata kedudukan mereka dalam hal ini tidak berubah.
Washington sudah lama mempunyai satu dasar “strategi kekaburan” sama ada ia akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya berlaku serangan China ke atas Taiwan.
Presiden China Xi Jinping berkata “penyatuan semula dengan Taiwan mesti dilakukan” dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat itu.
China melihat Taiwan yang mempunyai kerajaan sendiri sebagai sebuah wilayahnya yang terpisah dan berpandangan bahawa wilayah itu akan bersatu kembali dengan mereka suatu hari nanti.
Walau bagaimanapun, Taiwan melihat dirinya sebagai sebuah negara yang merdeka, dengan perlembagaannya sendiri dan pemimpin yang dipilih secara demokrasi.
Lokasi Taiwan
Taiwan adalah sebuah pulau, kira-kira 100 batu dari pantai tenggara China. Ia terletak dalam sebuah “rantaian pulau pertama” yang termasuk dalam senarai wilayah-wilayah yang dianggap mesra Amerika dan penting kepada dasar luar negaranya.
Jika China mengambil alih Taiwan, beberapa pakar barat mencadangkan ia akan membenarkan negara itu melebarkan pengaruh dan kuasanya lebih jauh di rantau Pasifik dan boleh memberi ancaman kepada pangkalan tentera Amerika yang terletak di Guam dan Hawaii.
Tetapi China menegaskan bahawa niatnya adalah untuk ‘keamanan’ semata-mata.
Taiwan dan China, sejarahnya
Sumber sejarah mencadangkan bahawa pulau itu mula berada bawah kawalan penuh China pada abad ke-17 apabila Dinasti Qing mula mentadbirnya. Kemudian, pada 1895, mereka menyerahkan pulau itu kepada Jepun selepas kalah dalam perang Sino Jepun yang pertama.
China mengambil semula pulau itu pada tahun 1945 selepas Jepun kalah Perang Dunia Kedua. Tetapi perang meletus di tanah besar China antara pasukan kerajaan nasionalis yang diketuai oleh Chiang Kai-shek dan Parti Komunis pimpinan Mao Zedong.
Komunis menang pada 1949 dan menguasai Beijing. Chiang Kai-shek dan saki baki pemimpin Parti Nasionalis yang tinggal, dikenali sebagai Kuomintang kemudian berundur ke Taiwan, dimana mereka menubuh kerajaan dan memerintah selama beberapa dekad seterusnya.
Kuomintang telah menjadi salah satu parti politik paling terkemuka di Taiwan sejak itu. Memerintah pulau itu untuk sebahagian besar sejarahnya.
China menggunakan sejarah ini untuk menguatkan hujah mereka bahawa Taiwan pada asalnya adalah wilayah China. Orang Taiwan juga menggunakan sejarah yang sama tetapi dari perspektif yang berbeza.
Mereka berkata, sejarah ini membuktikan bahawa Taiwan tidak pernah menjadi sebahagian daripada negara China moden yang pertama kali dibentuk selepas revolusi pada tahun 1911 atau Republik China yang ditubuhkan di bawah Mao pada tahun 1949.
Setakat ini, hanya ada 13 negara (termasuk Vatican) mengiktiraf Taiwan sebagai negara berdaulat. China memberikan tekanan diplomatik yang besar kepada negara lain untuk tidak mengiktiraf Taiwan, atau melakukan apa-apa yang membayangkan pengiktirafan.
Menteri Pertahanan Taiwan menyifatkan hubungan negara itu dengan China adalah yang terburuk dalam tempoh 40 tahun.
Bolehkah China dan Taiwan bersatu?
China boleh menggunakan pendekatan “penyatuan semula” dengan cara bukan ketenteraan seperti mengukuhkan hubungan ekonomi. Tetapi dalam sebarang konfrontasi ketenteraan, Angkatan Tentera China dilihat jauh mengatasi kemampuan ketenteraan Taiwan.
Perbelanjaan ketenteraan China adalah lebih tinggi daripada mana-mana negara, kecuali Amerika, untuk pertahanan dan mempunyai pelbagai keupayaan, daripada kuasa tentera laut kepada teknologi peluru berpandu, pesawat dan serangan siber.
Sebahagian besar kuasa ketenteraan China juga tertumpu di tempat lain tetapi, tetapi jika dilihat secara keseluruhan tentera yang aktif, terdapat jurang yang begitu ketara antara negara itu dengan Taiwan.

Dalam pertempuran terbuka, pemerhati melihat usaha terbaik yang boleh dilakukan oleh Taiwan hanyalah untuk memperlahankan kemaraan China, menghalang pendaratan angkatan tentera di kawasan pantainya dan melancarkan serangan gerila sementara menunggu bantuan dari luar.
Bila menyebut ‘bantuan’ luar, mereka melihat kepada Amerika yang mungkin menjual senjata kepada negara itu.
Bagaimanapun, ”strategik kekaburan” yang diamalkan Amerika membuatkan tiada siapa yang tahu apakah tindakan yang bakal diambil oleh negara kuasa dunia itu sama ada akan mempertahan Taiwan dalam serangan China atau tidak.
Namun secara diplomatiknya, Amerika menegaskan bahawa pihaknya berpegang teguh kepada dasar Satu China, iaitu mengiktiraf hanya ada satu kerajaan China, yang berpusat di Beijing, selain mempunyai hubungan rasmi dengan negara tembok besar itu dan tidak dengan Taiwan.
Tetapi pada Mei, ketika diajukan sama ada Amerika akan menggunakan kuasa tenteranya untuk mempertahankan Taiwan, Biden membalas ”Ya”.
Situasi semasa kedua-dua negara
Pada 2021, China nampaknya meningkatkan tekanan dengan menghantar pesawat tentera ke Zon Pertahanan Udara Taiwan, kawasan di mana pesawat asing dikenal pasti, dipantau dan dikawal demi kepentingan keselamatan negara.
Taiwan mengeluarkan data mengenai pencerobohan pesawat kepada umum pada 2022. Bilangan pencerobohan pesawat dilaporkan memuncak pada Oktober 2021, dengan 56 pencerobohan dalam satu hari.
Kenapa Taiwan penting kepada dunia?
Ekonomi Taiwan sangat penting kepada dunia. Kebanyakan peralatan elektronik dunia hari ini dari telefon ke komputer riba, jam tangan dan konsol permainan dikuasakan oleh cip komputer buatan Taiwan.
Dengan melihat data ini, dimana Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan atau TSMC mempunyai pegangan lebih daripada separuh dalam pasaran cip, sudah cukup membuktikan kepentingan negara tersebut kepada dunia.
TMSC digelar sebagai kilang ”foundry”, iaitu sebuah syarikat yang menghasilkan cip berasaskan rekaan daripada pengguna dan juga pelanggan ketenteraan. Ia merupakan satu industri yang sangat besar dengan nilai RM 445 bilion pada 2021.
Dengan kebergantungan dunia kepada cip yang dibekalkan oleh Taiwan, boleh disimpulkan bahawa apa-apa konflik yang melanda negara itu boleh mengganggu industri berteknologi tinggi global, sekaligus memberi kesan besar kepada pengguna yang rata-rata memerlukan gajet moden dalam kehidupan seharian.
Sekiranya Taiwan berjaya diambil alih, ia turut membenarkan China menguasai salah satu industri terpenting dunia.
Pandangan rakyat Taiwan
Walaupun terdapat ketegangan antara China dan Taiwan baru-baru ini, penyelidikan menunjukkan bahawa ramai orang Taiwan secara relatifnya tidak terganggu.
Pada bulan Oktober, Taiwan Opinion Foundation membuat satu tinjauan pendapat orang ramai sama ada mereka berpendapat bahawa, Taiwan akan berperang dengan China dimana hampir 2/3 responden (64.3%) menjawab tidak.
Dalam penyelidikan yang berasingan pula menunjukkan bahawa kebanyakan orang Taiwan mengakui sebagai orang Taiwan (Taiwanese) dan menerima identiti yang berbeza.
Tinjauan yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Chengchi sejak awal 1990-an menunjukkan bahawa kadar bilangan mereka yang dikenal pasti sebagai Chinese atau kedua-duanya sekali Chinese dan Taiwanese, telah menurun dan kebanyakan menganggap diri mereka sebagai orang Taiwan.
Sumber: BBC