Siakap Keli
La Nina dijangka akan berterusan sehingga bulan Disember
Gambar: Bernama

La Nina Dijangka Akan Berterusan Sehingga Disember – MetMalaysia

Keadaan La Nina dijangka akan berterusan sehingga bulan Disember tahun ini dengan kebarangkalian 66 peratus.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ia adalah berdasarkan sebuah tinjauan cuaca yang telah diadakan bagi tempoh Ogos 2022 hingga Januari 2023 lalu mengikut penganalisaan beberapa model tunjauan iklim terpilih.

Negara masih lagi mengalami Monsun Barat Daya dan dijangka akan berterusan sehingga pertengahan November 2022.

“Lazimnya, sepanjang tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil sekaligus mengurangkan pembentukan awan.

“Oleh itu, kebanyakan tempat di seluruh negara cenderung untuk menerima bilangan hari tanpa hujan lebih tinggi berbanding bilangan hari hujan,” kata MetMalaysia.

Namun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir yang disebabkan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai Barat Semenanjung dan Barat Sabah pada awal pagi.

Untuk pengetahuan, garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Tambah MetMalaysia lagi, pada Ogos 2022, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia akan menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 300mm.

Namun, selatan Johor dijangka akan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu 200mm hingga 250mm.

Gambar: MetMalaysia

Sarawak iaitu bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu dijangka menerima purata hujan antara 250mm hingga 300mm.

Negeri Sabah dan Wilayah persekutuan Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm.

Sepanjang September, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm.

Di Sarawak, bahagian Kuching, Betong, Sri Aman, Sarikei dan Sibu dijangka menerima purata antara 300mm hingga 350mm manakala bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras purata 200mm hingga 350mm.

Gambar: MetMalaysia

Sabad dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras antara 100mm hingga 350mm.

Pada Oktober, fasa peralihan monsun akan berlaku dan mengakibatkan cuaca menjadi lembab dan berlakunya hujan, ribut petir serta angin kencang yang cenderung untuk berlaku pada lewat petang atau awal malam.

Kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka menerima taburan hujan pada paras purata di antara 150mm hingga 350mm.

Gambar: MetMalaysia

“Namun, Perlis, Kedah, dan beberapa kawasan di barat Perak dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 150mm hingga 250mm,” ujar MetMalaysia.

Di Sarawak, keadaan hujan dijangka pada paras purata antara 250mm hingga 350mm manakala di Sabah, kebanyakan tempat dijangka menerima taburan hujan pada paras purata antara 100mm hingga 400mm.

W.P Labuan pula dijangka akan menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 400mm hingga 500mm.

MetMalaysia juga berkata bahawa monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada bulan November dan berakhir pada bulan Mac.

Semasa tempoh monsun Timur Laut, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 2 kilometer per jam.

Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri – negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

“Pada November, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100mm hingga 700mm.

Gambar: MetMalaysia

“Beberapa kawasan di selatan Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian utara Perak dijangka akan menerima jumlah hujan bulanan sedikit di bawah purata iaitu di antara 150mm hingga 250mm,” kata MetMalaysia.

Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu di antara 300mm hingga 400mm.

Negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 400mm.

Sementara itu, pada bulan Disember, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata di antara 50mm hingga 700mm.

Manakala, di Sarawak, semua bahagian dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata iaitu di antara 350mm hingga 450mm.

Namun, beberapa kawasan di Kuching, Samarahan dan Sri Aman dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 300 mm hingga 400mm.

Gambar: MetMalaysia

Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 450 mm.

MetMalaysia turut melaporkan, pada Januari 2023, kebanyakan negeri di Semenanjung masih lagi dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata iaitu antara 50mm hingga 400mm.

Gambar: MetMalaysia

“Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka akan menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 300mm hingga 450mm, kecuali di Kuching, Samarahan dan Sri Aman dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 450mm hingga 500mm,” lapor MetMalaysia

Negeri Sabah dan W.P Labuan pula dijangka akan menerima taburan hujan sekitar 150mm hingga 450mm.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

Nurfatihah Shahirah Azzuddin

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.