Selangor, 3 Ogos 2022 – Pasaran kerjaya kini bersiap sedia untuk generasi akan datang, Generasi Z (Gen-Z), yang lahir selepas pertengahan 90-an. Para penyelidik telah merumuskan bahawa gaji lebih tinggi bukanlah faktor paling penting untuk menarik dan mengekalkan kakitangan generasi baharu. Menurut tinjau selidik nadi COVID-19 terbaharu kendalian Mercer, yang meninjau pendapat lebih daripada 850 majikan di peringkat global, rasa tidak puas hati mengenai gaji dan manfaat, dan kemajuan kerjaya terhad telah muncul sebagai faktor utama bagi kadar pemberhentian kerja yang lebih tinggi. Ramai bakat baharu bakal menyertai tenaga kerja tidak lama lagi disusuli musim konvokesyen yang bermula di kebanyakan institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia. Kumpulan graduan tahun ini membawakan perspektif yang unik kepada pasaran kerjaya setelah menempuh pelbagai rintangan untuk belajar sepanjang musim pandemik.
Graduan Sains Alam Sekitar, Damia Munira Bakhthiar, yakin bahawa keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan sangat penting. Graduan University of Nottingham Malaysia (UNM) ini berhasrat untuk membina kerjaya di syarikat yang mengamalkan persekitaran kerja yang sihat dan beretika, agar kakitangan serta persekitaran dihormati. “Saya ingin mencari peluang untuk terus belajar dan berkembang maju, justeru majikan pilihan saya ialah organisasi yang menawarkan peluang membina keupayaan bersama pakar-pakar berpengalaman, disokong oleh kemudahan yang sesuai di tempat kerja untuk menggalakkan perkembangan kerjaya saya,” jelas Damia.
Brendan Chew Yiun Cherk, graduan Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Komunikasi Antarabangsa dalam bidang Filem dan Televisyen bersetuju dengan pandangan Damia, “Saya menghargai majikan dan tempat kerja yang mendorong pertumbuhan dan kemajuan kerjaya yang mantap bagi kakitangannya, yang memberi peluang untuk para graduan berkembang maju. Ini
boleh dilakukan menerusi kursus, peluang membina jaringan, aktiviti bina semangat, program pertukaran, dan sesi maklum balas (dengan tindakan yang sesuai). Ketelusan juga sangat penting,” katanya.
Pelajar yang berasal dari Ampang ini percaya bahawa aspek kemanusiaan perlu diberi penekanan di tempat kerja. “Produktiviti boleh dicapai tanpa perlu menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan jiwa kakitangan secara keseluruhan,” tambah Chew.
Pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal, Suggensheevan Suthagar, menerangkan bahawa tempat kerja paling sesuai baginya ialah sebuah organisasi yang “menyediakan peluang pembangunan kerjaya, imbuhan dan manfaat yang baik, dan persekitaran kerja yang memberikan sokongan kepada pekerja.” Pelajar berusia 24 tahun dari Pulau Pinang ini juga berkata, “Selain daripada mengambil kira kos sara hidup semasa, faktor-faktor ini, serta peluang pembangunan kerjaya, semuanya memainkan peranan untuk mendorong dan meningkatkan produktiviti kakitangan.”
Rakan sekerja yang baik dan stesen kerja yang serba lengkap adalah apa yang dikehendaki oleh pelajar dari Johor, Tan Kang Rui. Tan menambah bahawa dia berharap majikan juga menghargai dan menyokong kakitangan dalam proses pembelajaran sepanjang hayat, seperti mengikuti pengajian lepasan ijazah. Tan merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik yang memperoleh Ijazah Kejuruteraan Awam daripada UNM.
Kejayaan memperolehi ijazah memang patut diraikan. Bagi Debra Wong yang merupakan individu pertama dalam keluarganya yang mendapat pendidikan dan ijazah daripada universiti, pencapaian ini merupakan satu mercu jaya penting. Gadis yang berasal dari Kuching ini, menerima Ijazah Perhubungan Antarabangsa dengan Bahasa Perancis, percaya tiga ciri penting majikan yang baik ialah empati, tujuan yang jelas dan kebertanggungjawaban.
Wong menerangkan, “Saya berharap dapat bekerja dengan pegawai atasan atau majikan yang meluangkan masa untuk memahami faktor-faktor yang mempengaruhi produktiviti saya. Tambahan pula, saya gembira bekerja dengan majikan yang berhasrat untuk membina hubungan dengan kakitangan, memberikan bimbingan dan juga peluang dan sumber untuk berkembang maju dalam kerjaya. Dunia pekerjaan kadang kala sukar ditempuhi, jadi saya berharap untuk mempunyai mentor di tempat kerja yang akan membimbing dan membangunkan keupayaan saya, mengenal pasti kesilapan saya, dan menunjukkan cara yang lebih baik lagi.”
Menyedari bahawa setiap tempat kerja mempunyai nilai, visi dan misi tersendiri, Wong menekankan bahawa dia menghargai majikan yang mengamalkan nilai-nilai sendiri dan bertanggungjawab terhadap kerja yang dilakukan mereka. “Kakitangan akan terdorong untuk mencontohi nilai-nilai tersebut,” rumus Wong.
Provos Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif UNM, Profesor Sarah Metcalfe, percaya bahawa universiti berperanan untuk mempersiapkan bakat-bakat muda yang mempunyai pandangan global untuk membina kerjaya yang berdaya saing, menerajui tempat kerja masa depan dan menjana nilai kepada majikan mereka. “Sebagai institusi yang memupuk generasi terbaharu yang bakal memasuki alam kerjaya, kami mendapati faktor pendorong utama bagi Gen Z ialah keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, bimbingan mentor dan peluang pembangunan profesional. Dalam pada itu, saya menasihatkan agar graduan memberikan yang terbaik di tempat kerja, sentiasa bersikap positif dan menunjukkan daya usaha. Bak kata pepatah, ‘Usaha tangga kejayaan’. Majikan yang baik diterajui pemimpin yang cemerlang, serta disokong oleh pasukan yang mapan,” ujar beliau.
Baru-baru ini, UNM menganjurkan majlis graduasi untuk hampir 3,000 graduan dari Kelas 2020, 2021 dan 2022 dalam majlis graduasi Jun dan Julai.
Untuk pertanyaan media sila hubungi: Josephine Dionisappu, Pengurus PR dan Komunikasi Universiti Nottingham Malaysia di j[email protected]