Awas, Ribut Petir & Hujan Lebat Dijangka Landa 7 Negeri Sehingga Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga jam 9 malam ini.
Menurut MetMalaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain itu, antara negeri yang terlibat adalah negeri Perak iaitu di daerah Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Bagi negeri Pahang pula, daerah yang terlibat adalah Raub, Bentong, Temerloh dan Maran.
“Di Selangor, ia cuma melibatkan daerah Hulu Selangor,” kata MetMalaysia menerusi satu kenyataan.
Tambahnya lagi, daerah Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor turut mengalami keadaan cuaca yang sama.
Sementara itu, negeri Sarawak pula melibatkan daerah Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Di Sabah, daerah yang terlibat adalah Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Sandakan (Telupid, Beluran) dan Kudat (Pitas),” kata MetMalaysia.
Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terutamanya di negeri-negeri yang terkesan.
Sumber: MetMalaysia