Siakap Keli
daerah tekesi
Gambar: Oddity Central

Kenali Daerah Tekesi, Sebuah Bandar Dengan Seni Bina Unik Di China

Lain daripada yang lain, daerah Tekesi di China merupakan sebuah bandar yang mempunyai seni bina bangunan unik berbentuk simbol Bagua, merujuk artikel  Oddity Central.

Simbol atau seni bina Bagua yang turut dikenali sebagai reka bentuk lapan trigram adalah asas pembentukan daerah ini sehingga menarik perhatian ramai, khususnya pakar-pakar seni bina di seluruh dunia.

Difahamkan, menurut kepercayaan, bagua itu sendiri memiliki prinsip asas realiti dan dilihat sebagai rangkaian lapan konsep yang mempunyai hubung kait.

Ia termasuk dalam konsep kompleks kosmologi Tao mengikut kesesuaian dalam bidang astronomi, geografi, anatomi, seni mempertahankan diri, perubatan dan disiplin ilmu lain.

daerah tekesi
Gambar: Oddity Central

Justeru, bentuk lapan trigam yang menjadi ‘akar’ seni bina bagi bandar daerah yang terletak di wilayah autonomi Uygur Xinjiang, Barat Laut China ini dipercayai memiliki unsur-unsur kelebihannya sendiri.

Dengan memiliki keluasan kira-kira 8,067 kilometer persegi, daerah Tekesi ini kini dipenuhi dengan populasi penduduk sekitar 50,000 orang.

Keunikan lampu yang terpancar membentuk Bagua menjadikannya terkenal kerana mempunyai lapan jalan dengan empat jalan yang berlingkar mengelilingi pusat hingga ke pinggir bandar.

Tambahan pula, empat lingkaran jalan tersebut menghubungkan sebanyak 64 jalan dan setiap satu mempunyai lampu jalan yang berbeza warna. Ekoran itu, ia semakin menarik daya tarikan visual bandar tersebut.

daerah tekesi
Gambar: Oddity Central

Melalui gambaran foto di udara, imej unik trigram ‘gergasi’ ini telah menjadikan Tekesi sebagai lokasi tumpuan bagi sektor pelancongan udara yang semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Difahamkan, ia semakin dikenali oleh pelancong luar dengan susunan penempatannya yang cantik, menyebabkan pihak berkuasa tempatan menawarkan lawatan atau penerbangan udara ke bandar tersebut.

Dalam pada itu, selain mempunyai susun atur yang kemas dan menakjubkan, bandar Tekesi Bagua ini juga terkenal dengan kawasan yang bebas daripada lampu isyarat – sesuatu yang sangat luar biasa bagi sebuah bandar besar.

Menurut kebanyakan sumber seperti yang ditulis Oddity Central, lampu-lampu isyarat itu ‘ditamatkan’ dan dibawa keluar pada tahun 1996 kerana dianggap tidak berkeperluan bagi penduduk di sana.

daerah tekesi
Gambar: Oddity Central

Bagaimanapun, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), terdapat laporan menyatakan bahawa jumlah kenderaan persendirian  di bandar itu didapati semakin meningkat.

Perkara itu sedikit sebanyak memberi tekanan pada infrastruktur tempatan. Oleh itu, hampir di setiap persimpangan mempunyai polis trafik bagi memastikan lalu lintas lancar.

Menariknya, walaupun ia secara rasmi bebas daripada lampu isyarat dan hanya mempunyai lampu tetap, rakaman CCTV menunjukkan bahawa kadangkala bandar ini memerlukan lampu isyarat untuk mengelakkan kesesakan trafik.

Terdahulu, penempatan ini mula diasaskan sejak tahun 1937 sebelum ia menjadi sebuah bandar yang terkenal disebabkan susun atur yang unik dalam tempoh yang pantas.

Sumber: Oddity Central

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?