Siakap Keli
bapa dan dua abang tiri dipenjara
Gambar: Thaiger

Ayah & Dua Abang Tiri Dipenjara, Rogol Adik Perempuan 12 Tahun

Seorang ayah dan dua anak lelaki tiri dipenjara atas kesalahan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam kejadian di Thailand baru-baru ini, lapor Thaiger.

Ayah mangsa, 46, dan dua lagi abang tirinya yang masing-masing berumur 19 dan 17 tahun ditahan selepas kanak-kanak itu melaporkan perbuatan terkutuk tersebut kepada polis di wilayah selatan Nakhon Si Thammarat.

Mangsa bersama ibu saudaranya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Tha Sala pada Isnin, 1 Ogos. Dia kemudiannya memberitahu pihak polis bahawa dirinya sudah berulang kali dirogol oleh ayah serta dua abang tirinya selama berbulan-bulan.

Sementara itu, ibu saudaranya memaklumkan bahawa mangsa tinggal bersama ayah dan isteri baharu setelah ibunya bercerai beberapa tahun lalu.

Tambah wanita itu, anak saudaranya itu dirogol ketika ayahnya berseorangan di rumah, manakala dua abang tirinya melakukan perbuatan keji itu sewaktu melawat ke rumah ibu mereka.

Ekoran itu, mangsa telah melarikan diri ke rumah ibu saudaranya dan mendedahkan perkara sebenar.

Mahkamah Wilayah Nakhon Si Thammarat dan Mahkamah Juvana mengeluarkan waran kepada pihak polis untuk menangkap suspek selepas mendapat bukti yang kukuh pada 3 Ogos lalu.

Ketiga-tiga suspek didakwa atas pertuduhan serangan seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Jelas pegawai polis yang menangkap suspek, suspek enggan menjawab sebarang soalan.

Sehubungan itu, mereka akan dipenjarakan di penjara wilayah manakala salah satu suspek yang berumur 17 tahun akan diadili di Mahkamah Juvana dan Keluarga Wilayah Nakhon Si Thammarat disebabkan masih di bawah umur 18 tahun.

Dalam pada itu, media tempatan turut melaporkan bahawa penduduk setempat yang tinggal di sekitar keluarga itu mengecam tindakan tiga suspek terbabit dan berharap mereka bakal berdepan dengan hukuman sewajarnya.

Menurut undang-undang Thailand, sesiapa yang melakukan persetubuhan dengan gadis bawah umur 15 tahun dan bukan isterinya sendiri, sama ada gadis itu bersetuju atau tidak, hendaklah dihukum penjara empat hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada RM997 hingga RM4,985.

Sumber: Thaiger

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.