Siakap Keli
Kredit: Sinar harian & Twitter

Keturunan Ketujuh Mahsuri Kembali Ke Langkawi, Adakah ‘Sumpahan’ Telah Berakhir?

Berita keturunan ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi bersama ahli keluarganya kembali dari Phuket, Thailand ke Langkawi baru-baru ini telah menjadi buah mulut warga tempatan.

Wan Aishah Wan Nawawi yang berusia 37 tahun mengunjungi tempat asal keturunannya itu bersama suaminya, Alee Tongyon, 39 tahun dan anaknya dalam percutian selama dua hari baru-baru ini.

Wanita yang juga dikenali dengan nama Sirintra Yayee atau Nong May itu lahir pada tahun 1986 dan waktu kelahirannya dikatakan sebagai satu garis ‘penamat’ kepada sumpahan moyangnya.

Lagenda Mahsuri

Terdahulu, terdapat satu artikel yang telah mengupas mengenai lagenda ini secara terperinci.

Keratan artikel dahulu

Secara ringkasnya, Mahsuri dikatakan telah difitnah atas pertuduhan melakukan zina dan telah mendapat hukuman berupa tikaman pada bahagian perutnya.

Sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya, Mahsuri telah meletakkan satu sumpahan terhadap Pulau Langkawi selama tujuh keturunan.

Dia bersumpah Pulau Langkawi akan menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan yang dianggarkan dalam 700 ratus tahun.

Aku reda matiku jika benar aku bersalah tetapi jika aku dianiaya, aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini. Aku bersumpah, bumi Langkawi tidak akan aman dan menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!

Ketika saat rohnya terpisah daripada jasadnya, darah Mahsuri yang mengalir keluar dari jasadnya bukanlah berwarna merah, tetapi berwarna putih, simbolik kepada kesucian.

Selepas kematian wanita malang itu, Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan keluarga Mahsuri berpindah ke selatan Thailand dan akhirnya menetap di Phuket.

BACA JUGA: “Aku Sumpah Langkawi Jadi Padang Jarak, Padang Tekukur Selama 7 Keturunan,” Kisah Lagenda Mahsuri Yang Ramai Tak Tahu

Sambutan oleh warga tempatan

‘Kepulangan’ Wan Aishah, suaminya berserta anaknya yang merupakan generasi kelapan Mahsuri telah menjadi tular di media sosial sejak baru-baru ini.

Video berdurasi 23 saat  yang dikongsi oleh Mior Johan Johari, pemilik Restoran Bamboo Chenang itu menunjukkan tiga beranak ini sedang melawati restorannya.

Video itu telah mendapat sebanyak kira-kira 893,900 jumlah tontonan dengan tanda pagar #AisyahketurunanMahsuriyangke-7 di aplikasi TikTok dengan menggunakan akaun @miorjohan.

@miorjohan

Ramai Yg tertanya pasal mahsuri..ini ialah #aisyah keturunan #mahsuri yg ke7..mahsuri telah sumpah bumi #langkawi sehingga keturunan ke7..tq dtng lngkawi xpernah xsinggah #mahsurisumpahtujuhketurunan😭💪💦🤲🌾🦅

♬ อย่างน้อยเราเคยรักกัน – AnAn (อันอัน)

Lelaki itu mengatakan bahawa sejak tahun lepas, dia sudah mengenali generasi ketujuh Mahsuri dan keluarga di Phuket.

Mior Johan memberitahu  Sinar Harian, “Hubungan kekeluargaan antara keluarga kami dan Wan Aishah memang rapat diibaratkan umpama adik-beradik dan kami dilayan dengan baik setiap kali ke Phuket, begitu juga apabila Wan Aishah ke Langkawi,”

Dia tidak sesekali menyangka video yang dikongsikan dalam TikTok miliknya itu telah menjadi satu topik perbualan hangat dan mencetuskan rasa teruja kepada masyarakat sekeliling.

Underwater World Langkawi juga ada memuat naik video berdurasi 18 saat, menampilkan Wan Aishah dan keluarganya mengunjungi pusat pelancongan itu dalam akaun Facebook rasminya.

Kredit: Facebook

Berdasarkan aktiviti Facebook Wan Aishah yang menggunakan nama Nu May, dia telah memuat naik beberapa fotonya ketika melancong di Langkasi sejak Sabtu lalu.

Adakah sumpahan telah berakhir?

Berbalik kepada konteks, seperti yang kita tahu, Mahsuri ‘meninggalkan’ dunia ini dengan satu sumpahan yang ditujukan buat pulau ‘permata’ Kedah ini.

Merujuk artikel Siakap Keli terdahulu (yang dipaparkan di atas), Mahsuri dikatakan menyumpah Langkawi supaya menjadi ‘padang jarak padang terkukur’ selama tujuh keturunan.

Kebetulan dalam masa sama, Wan Aishah juga kembali ‘pulang’ ke bumi sumpahan moyangnya ini ketika beliau berada di ‘garis masa’ pewaris keturunan ketujuh dalam susur galur keturunan Mahsuri.

Jadi, adakah ‘kembalinya’ Wan Aishah ke Langkawi boleh dianggap sebagai penanda berakhirnya sumpahan Mahsuri? Ataupun ia sekadar kebetulan? Hanya Allah SWT saja yang tahu.

Sumber: Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma