Menurut satu laporan daripada VICE World News, solusi unik seperti ‘oh som’ digunakan untuk menyelesaikan masalah, seperti masalah pertembungan dua kereta dalam satu lorong yang sama.
“Encik, boleh tak bagi saya keluar dulu. Saya ada urusan penting lepas ni dan saya dah lambat. Lagipun saya yang mula-mula sampai dekat sini,” kata Ira, seorang pekerja korporat.
“Eh, kenapa saya yang kena bagi laluan dekat awak? Dah tahu laluan ni ada satu lorong jer, kenapa masih nak pakai kereta besar-besar macam lori simen? Lagipun, saya yang sampai dululah, bukannya awak,” jurulatih renang bernama Razin itu kelihatan tidak mahu mengalah.
Kedua-duanya telah bertikam lidah dan sudah pasti, ada banyak kenderaan yang beratur di belakang kereta mereka.
Perkara di atas sering berlaku bukan sahaja di negara kita, tetapi hampir di seluruh dunia. Hal ini disebabkan tiada cara yang efektif untuk menyelesaikan masalah di atas seperti kehadiran polis trafik ataupun lampu isyarat. Perkara ini bukan sahaja boleh mencetuskan api kemarahan antara pemilik kenderaan yang bertembung, malah ia akan menjadi lebih teruk jika berlakunya kemalangan antara kenderaan yang terlibat.

Walau bagaimanapun, terdapat satu solusi yang unik telah digunakan oleh masyarakat Jepun yang menetap di Kochi di sana. Kaedah yang digunakan bersifat adil dan mudah dipersetujui iaitu dengan bermain pemainan yang kita kenali (dalam bahasa mudahnya), ‘oh som’.
Perkara ini telah dirakam menerusi rakaman dashcam daripada salah satu kereta yang bertembung itu. Kelihatan pemandu di hadapannya tidak melenting sewaktu pertembungan itu berlaku. Sebaliknya mereka menyelesaikannya dengan cara yang sangat diplomatik iaitu bermain ‘oh som’. Dikenali dengan nama tempatan sebagai じゃんけん (Janken), mereka mengunakan variasi ‘batu gunting kertas’.

Refleksi daripada video
Walaupun permainan kanak-kanak ini dilihat agak naif, tetapi siapa sangka ia sebenarnya mampu menyelesaikan satu masalah besar dalam kehidupan orang dewasa. Sifat pemandu itu juga menjadi faktor utama bagaimana masalah ini dapat diselesaikan. Pemilik kenderaan bagi kedua-dua kenderaan itu kelihatan tidak mementingkan diri sendiri dan sangat terbuka untuk berunding.
@viceworldnews Remember how “rock, paper, scissors” could solve any disagreement? Two drivers have used the childhood game to end a deadlock down a narrow road in Kochi, Japan. #rockpaperscissors #japanese #japanlife #winners Reporting by @Hanako Montgomery
Video ini telah membuka mata warganet bahawa sifat agresif dan api kemarahan yang meluap-luap tidak akan dapat menyelesaikan masalah secara efektif. Sebaliknya, sifat positif dan daya pemikiran kritis dan kreatif dapat membantu manusia untuk mencari jalan keluar daripada pintu masalah.
Sumber: VICE World News via TikTok