Siakap Keli

Poliklinik Kesihatan ATM Akan Beroperasi Sepenuhnya, Lebih 12,000 Keluarga ATM Terima Manfaat

Lebih 12,000 anggota ATM, keluarga serta Veteran ATM dan kawasan sekitar akan menikmati kemudahan kesihatan setelah Poliklinik Kesihatan ATM akan beroperasi sepenuhnya di Kem Penrissen, Kuching, Sarawak.

Kemudahan kesihatan berkeluasan 13,643 meter persegi ini adalah inisiatif Kementerian Pertahanan bersama ATM yang ditubuhkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Hospital Kerajaan di Kuching.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyempurnakan Perasmian Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 5 Ogos yang lalu.

Menurut beliau, Poliklinik Kesihatan ATM ini adalah salah satu daripada lima Poliklinik Kesihatan ATM dimulakan perancangannya ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini.

Projek perintis yang mula dibangunkan pada November 2017 ini bakal menempatkan khidmat doktor pakar perubatan dan pakar pergigian termasuk kemudahan pesakit luar dan wad.

Mempunyai kemudahan perkhidmatan lengkap meliputi perkhidmatan Klinik Tentera, Klinik Kesihatan Keluarga, Unit Kecemasan, Dewan Bedah, Wad Pesakit Dalam, Pusat Hemodialisis, Unit Rehabilitasi, Perkhidmatan Pergigian dan Perkhidmatan Kesihatan Awam. Turut disediakan sebagai kemudahan sokongan perubatan adalah seperti Makmal Perubatan, Farmasi dan Pengimejan (X-ray).

Bukan setakat itu sahaja, tiga lagi Poliklinik Kesihatan ATM juga sedang berada dalam proses pembinaan. Antara yang dimaksudkan adalah di Kluang , Johor, Seberang Takir, Terengganu dan Sungai Petani, Kedah. Sebuah lagi di Kuantan pula sedang memasuki proses tender.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM.

Kemudahan kesihatan ini sudah pastinya menjadi berita gembira buat mereka yang berada di sekitar. Sudah pasti ucapan terima kasih turut diungkapkan kepada pihak Kementerian Pertahanan Malaysia atas inisiatif bermanfaat ini.

Antaranya ucapan terima kasih turut diungkapkan oleh Veteran ATM iaitu Kpl Nor Adis dan juga Ssjn Willi Ak Langgong.

Tambah Misichinda Anak Balayong, jururawat yang akan bertugas di Poliklinik tersebut, pelbagai kemudahan di sediakan kepada pengunjung dan secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran yang selesa. Begitu juga ungkapan daripada seorang isteri anggota, Puan Maizura Binti Arif, baginya Poliklinik Kesihatan ATM ini memudahkan urusan mereka yang berkaitan kesihatan kerana tidak perlu keluar jauh untuk mendapatkan rawatan.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa