Siakap Keli
Gamat
Kredit Business Insider

Cecah RM 13,000 Sekilogram, Kenapa Gamat Jadi Juadah Istimewa Digemari Orang Kaya?

Gamat mungkin kelihatan seperti makhluk yang biasa-biasa sahaja, tetapi sebenarnya ia sangat berharga dan boleh dijual dengan harga mencecah RM 13,365 sekilogram.

Disebabkan harga jualan yang begitu lumayan, maka tak hairanlah hidupan laut ini diburu dan ramai yang sanggup mempertaruhkan nyawa bagi mendapatkannya.

Gamat haiwan yang agak pelik. Ia tidak mempunyai sebarang anggota badan serta tidak mempunyai mata tetapi mempunyai mulut dan dubur di kedua-dua hujungnya.

Sejak berabad lamanya, gamat menjadi pilihan orang kaya untuk dijadikan sebagai hidangan yang sangat istimewa, khususnya di Asia. Ia dikatakan mempunyai sumber khasiat yang tinggi seperti protein. Lewat 80-an, permintaan gamat meningkat selepas bilangan golongan pertengahan semakin bertambah, misalnya di China dan semakin ramai yang mampu membayar harga gamat yang mahal.

Hari ini, gamat biasanya dikeringkan dan dibungkus dalam kotak berhias, kemudian diberikan sebagai hadiah dan dihidangkan pada majlis-majlis khas. Semakin menarik dan premium ia dipersembahkan, harga jualannya semakin mahal.

Setakat ini, terdapat lebih 1,250 spesis gamat yang diketahui di seluruh dunia. Daripada jumlah berkenaan, gamat Jepun menjadi gamat paling mahal dan diburu ramai pihak.

Dengan harga sekilo boleh mencecah RM 15,592, ia adalah gamat paling mahal di pasaran berbanding spesis-spesis lain. Namun begitu, jika anda berhajat untuk memesan juadah berasaskan gamat daripada spesis yang biasa-biasa sahaja, harganya tetap mahal. Anda mungkin perlu membayar sehingga RM 750 sepinggan.

Selain cara chef menghidangkannya, penggemar gamat juga menitikberatkan kekenyalan dan ketebalan isi serta rasa semula jadinya. Bagaimanapun, keinginan untuk menikmati gamat kerana rasanya hanyalah sebahagian daripada tujuan orang ramai memakan gamat.

Ternyata gamat mengandungi satu bahan kimia yang dipanggil glikomasinoglikan fukosilasi dalam kulitnya, yang telah digunakan oleh orang Asia untuk merawat masalah sendi selama berabad-abad.

Terbaru di Eropah, mereka mula menggunakannya untuk merawat kanser tertentu dan mengurangkan pembekuan darah. Kini, gamat bukan lagi digilai oleh mereka yang tinggal di Asia, ia turut mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk di Eropah.

Kesannya, kini banyak pihak mula tampil mempromosikan gamat-gamat dari spesis tempatan. Baik mereka yang tinggal di Maghribi, Amerika Syarikat mahupun di Papua New Guinea, semuanya mahu melibatkan diri dalam perniagaan gamat.

Sebagai contoh, dari tahun 1996 hingga 2011, bilangan negara yang mengeksport gamat meningkat daripada 35 kepada 83. Tetapi malangnya, gamat tidak dapat menangani tekanan.

Di Yucatan, Mexico, sebagai contoh, penyelam melihat penurunan hasil tuaian mereka antara 2012 dan 2014, dan itu akan memberi masalah kepada semua pihak. Kerana semakin banyak gamat ‘dituai’, semakin sedikit bilangannya di alam semula jadi dan semakin mahal harganya. Harga purata meningkat hampir 17 peratus di seluruh dunia antara 2011 dan 2016.

Semakin sukar gamat didapati, semakin dalam para penyelam perlu menyelam untuk mendapatkan haiwan ini. Tanpa latihan, selaman sebegitu mendatangkan musibah kepada peselam-peselam ini. Di sesetengah negara tropika, terdapat ramai peselam yang mengalami kelumpuhan akibat penyakit dekompresi.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 40 penyelam Yucatan telah mati dalam usaha menuai gamat. Apabila permintaan terus meningkat, masalah semakin teruk. Daripada 70 atau lebih spesis gamat yang mendapat permintaan tinggi, 7 spesis kini diklasifikasikan sebagai terancam.

Timbul persoalan, mengapa orang ramai tidak menternak sahaja gamat dan tidak mengganggu spesis liar?

Sebenarnya, ia tidaklah semudah yang disangkakan. Kerana banyak larva mati sebelum mencapai usia matang, dan larva yang masih hidup mengambil masa dua hingga enam tahun untuk membesar dan mencapai saiz yang boleh dijual.

Bagaimanapun, bagi pihak yang sanggup menunggu dan mempunyai modal yang besar, mereka mula menternak beberapa spesis gamat, terutamanya spesis gamat Jepun yang mempunyai harga jualan yang tinggi.

Semoga lebih banyak spesis akan diternak pada masa hadapan, jika pun bukan untuk melindungi ekonomi tempatan atau membantu penyelidikan bagi menghasilkan ubat yang berpotensi menyelamatkan nyawa, maka sekurang-kurangnya ia dapat membantu spesis tertentu gamat daripada pupus.

Sumber: Business InsiderĀ 

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka