FamilyMart Bakal Guna Robot ‘Topup’ Barang, Tangani Isu Kekurangan Tenaga Kerja
Telexistence Inc. dan FamilyMart Co. sedang melancarkan kumpulan robot yang dipacu AI untuk menyusun atur barangan ke atas rak di 300 kedai serbaneka seluruh Jepun, lapor South China Morning Post.
Berdasarkan sebuah kenyataan Telexistence yang berpangkalan di Tokyo, lengan robot itu telah direka khas untuk mengisi semula minuman ke dalam peti sejuk.
Robot itu akan dipasang di seluruh FamilyMart yang terletak di kawasan metropolitan utama pada akhir bulan ini.
Inisiatif ini dapat membantu melegakan pekerja kedai sambil mengisi kekosongan tenaga kerja yang kian berkurangan di negara itu.
TX SCARA, singkatan untuk Lengan Robot Pemasangan Pematuhan Terpilih yang sebahagian besarnya berautonomi dan boleh dipandu jauh sebagai pilihan sandaran sekiranya sistem AI gagal menemui item di luar tempat.
“Setiap unit boleh menggantikan satu hingga tiga jam kerja manusia sehari setiap kedai,” kata Telexistence.
“Penurunan populasi buruh Jepun adalah salah satu isu pengurusan utama bagi FamilyMart untuk meneruskan operasi kedai yang stabil.
“Masa yang baru dicipta boleh diperuntukkan semula kepada perkhidmatan pelanggan dan peningkatan kedai, ” kata Tomohiro Kano, pengurus besar di FamilyMart.
FamilyMart akan membayar Telexistence bayaran bulanan bagi kerja robot, penyelenggaran dan sokongan pekerja jauh yang boleh memandu lengan menggunakan set realiti maya.
“Bot boleh berfungsi tanpa bantuan manusia 98 peratus pada masa itu,” kata Telexistence.
Gergasi teknologi AS, Microsoft Corp. dan Nvidia Corp. bekerjasama dengan Telexistence dalam pembangunan dan teknologi robot.
Lengan SCARA menggunakan platform AI Jetson Nvidia untuk memproses maklumat dan infrastruktur awan Azure Microsoft untuk merekod dan merujuk data jualan untuk mengoptimumkan tugas penyimpanan semula.
FamilyMart mempunyai 16,000 kedai serbaneka dan dikenali sebagai conbini di Jepun yang merentasi pasaran domestik.
Namun, Telexistence dan Microsoft kedua-duanya menyatakan mereka mahu menyampaikan teknologi itu pada skala global.
Telexistence seterusnya akan menyasarkan lebih daripada 150,000 kedai serbaneka di seluruh Amerika Syarikat dan berkembang ke luar negara.
Sumber: South China Morning Post