Siakap Keli
malaysia ekonomi berpendapatan tinggi
Gambar: AFP

Malaysia Dijangka Capai Status Ekonomi Berpendapatan Tinggi Diantara 2024 – 2028

Malaysia dijangka akan beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi diantara 2024 hingga 2028, mencerminkan trajektori pembangunan transformasi ekonomi negara sejak beberapa dekad yang lalu. 

Walau bagaimanapun, Malaysia perlu memperbaharui langkah selanjutnya sebelum dapat menyertai barisan ekonomi maju dan terkemuka yang lain, menurut laporan Bank Dunia. 

Difahamkan, Pendapan Negara Kasar (PNK) per kapita Malaysia berada pada tahap $11,200 pada 2021, hanya kurang $1,335 daripada paras ambang semasa yang mentakrifkan ekonomi berpendapatan tinggi. 

Bagaimanapun, kemajuan menuju ke arah ambang itu terganggun selepas pandemik Covid-19 melanda dunia dan kesan-kesan yang ditanggung pasca-pandemik. 

Kini, Malaysia berpeluang melakukan pembaharuan yang bernas untuk mengekalkan pertumbuhan masa depan yang akan memberi manfaat kepada semua segmen penduduk. 

“Kerajaan Malaysia komited untuk menilai secara berterusan kualiti, keterangkuman dan kemampanan pertumbuhan Malaysia.

“Kami telah membina asas yang baik tetapi kami juga sedar bahawa lebih banyak pelaburan perlu dibuat dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi untuk menampun peluang ekonomi yang  lebih luas dan mudah. 

“Kerajaan juga semakin menerima matlamat Pembangunan Lestari PBB dalam belanjawan tahunannya. Semua ini akan memastikan pertumbuhan yang mampan melalui strategi ekonomi berasaskan hasil yang disasarkan, supaya Malaysia boleh meraih peluang ekonomi pasca COVID-19. 

“Pada masa yang sama, ia juga membolehkan ekonomi Malaysia kembali ke landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang serta Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030,” jelas YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul. 

Difahamkan juga, model pembangunan yang berfungsi pada masa lalu tidak lagi mencukupi untuk membantu membawa Malaysia ke peringkat seterusnya. 

Oleh itu, satu set dasar dan institusi yang berbeza diperlukan untuk meningkatkan kualiti keterangkuman dan kemampanan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. 

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa persedian terbaik bagi kemungkinan peralihan pendapatan ini untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan di belakang negara berpendapatan tinggi lain adalah dengan mencari jalan lain untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi. 

Sebagai contoh, Malaysia perlu mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, mengukuhkan lagi institusi serta memastikan kemasukan pelaburan yang lebih besar ke dalam negara serta mengukuhkan kapasiti untuk membiayai peralihan kepada status negara maju dan berpendapatan tinggi. 

BACA: Ekonomi Malaysia Berkembang 8.9% Pada Suku Kedua, Kadar Terpantas Dalam Tempoh Setahun

Sumber: Bank Dunia

Faiz Mustafa