Stok Masih Elok, Sebuah Kapal LCS Hampir 60 Peratus Siap & Empat Lagi Masih 20 – 48 Peratus
Peralatan dan kelengkapan bagi projek pembinaan Kapal Tempur Persisir (LCS) yang telah disimpan di dalam stor difahamkan masih boleh digunakan lagi, menurut laporan ringkas dari Bernama sebentar tadi.
Dalam pada itu, menerusi laporan itu juga, sebuah kapal LCS dikatakan telah hampir siap dengan purata 60%, manakala empat lagi yang berada pada tahap 20% hingga 48% hampir siap.
BNS hari ini menjemput kumpulan media bagi melihat sendiri perkembangan projek pembinaan kapal TLDM berkenaan.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan bahawa projek LCS akan diteruskan dan kapal pertama dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Bercakap mengenainya di sidang Dewan Negara tempoh hari, Hishammuddin berkata kementeriannya memberikan kerjasama yang menyeluruh kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan isu LCS.
“Kerjasama kita kepada PAC telah menyeluruh di mana kita telah berdepan dengan PAC lebih daripada 15 kali.
“Perancangan kita ke depan dalam masa enam bulan atau tiga bulan, saya akan laporkan pada kabinet, sedang rancak berjalan,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak yang bersalah akan tetap dibawa ke muka pengadilan dan kecewa dengan apa yang telah berlaku.
“Tetapi kita mesti lihat ke hadapan, mencari keadilan, memastikan kapal ini dapat dibekal kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan mencari jalan yang terbaik untuk memastikan ia tidak berulang di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berkata kapal pertama dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun.
“Sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini saya harap bahawa kapal pertama akan dapat kita siapkan.
“Saya akan melaporkan kepada orang ramai jadual berperingkat dan kapal-kapal yang dijanjikan kepada TLDM serta saya akan maklumkan kepada kabinet apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Sumber: BERNAMA