Anak Mangsa Rogol Kembali Lepas Hampir 30 Tahun, Bantu Mak Cari Suspek Kes Pada 1994
Seorang lelaki yang merupakan anak luar nikah kepada ‘ibunya’ yang pernah dirogol hampir 30 tahun dahulu kembali menuntut keadilan demi mengheret perogol itu ke penjara, lapor BBC News.
Imbas kembali, ketika 1994 lalu, wanita (mangsa/ibu) di wilayah Uttar Pradesh, India itu sering dirogol oleh dua lelaki selama enam bulan lamanya sewaktu usianya 12 tahun hingga hamil.
Difahamkan, kedua-dua lelaki (perogol) terbabit merupakan adik-beradik dan mereka melakukan perbuatan jijik itu semasa mangsa menetap di Bandar Shahjahanpur ketika itu.
Sejurus dilahirkan, bayi luar nikah itu iaitu lelaki berkenaan diserahkan kepada keluarga angkat, maka itulah kali terakhir mereka berdua bersama sebelum berpisah dan bertemu semula selepas hampir tiga dekad.
Mohon bantuan polis jejaki perogol
Selepas hampir 30 puluh tahun, lelaki berkenaan kembali ke pangkuan ‘ibunya’ gara-gara ingin mengetahui siapakah ayahnya yang sebenar.
Atas dorongannya, akhirnya wanita itu tekad untuk kembali ke Shahjahanpur bagi memanjangkan pencarian mereka melalui bantuan pihak polis.
Bagaimanapun malangnya, pihak polis enggan terlibat kerana mereka menyifatkan agak sukar untuk menyiasat dan ‘memenangi’ kes itu memandangkan ia sudah berlalu hampir 30 tahun.
Oleh itu, dua ‘beranak’ tersebut akhirnya tekad menggunakan khidmat peguam. Bagaimanapun, peguam itu keberatan kerana suasana kawasan kejadian (Shahjahanpur) sudah banyak yang berubah dan suspek juga tidak dapat dikesan.
“Bagaimana anda akan membuktikan di mana anda tinggal tiga dekad yang lalu dan di situlah anda dirogol?” tanya peguamnya.
“Saya beritahu dia, kami akan bawa bukti, anda ambil kes kami,” katanya.
Justeru, peguam yang dilantik tersebut menfailkan rayuan di mahkamah dan kes berjaya didaftarkan pada Mac 2021 atas perintah Ketua Majistret Kehakiman Shahjahanpur, manakala polis meminta wanita itu untuk mencari suspek.
“Saya menemui mereka dan bercakap dengan mereka melalui telefon. Mereka mengenali saya dan bertanya mengapa saya belum mati lagi.
“Saya cakap, sekarang giliran awak untuk mati,” katanya kepada suspek dengan nada tegas.
Walaupun suspek berjaya dikesan, namun tiada bukti yang boleh disabitkan dengan jenayah itu. Jelas polis, bukti kini telah datang daripada ujian Deoxyribonucleic acid (DNA) yang diambil pada Februari.
Penguasa Kanan Polis Shahjahanpur (SSP) S Anand memberitahu BBC, “Kes ini benar-benar di luar jangkaan. Apabila wanita itu tampil dan memfailkan kes, kami agak terkejut. Tetapi kami mengambil peluang dan mengambil sampel DNA anaknya,”
Inspektor Dharmendra Kumar Gupta, yang telah menyiasat kes itu sejak setahun lalu, berkata, “Kami kemudian mengumpul sampel DNA daripada tertuduh dan menjalani ujian. Salah seorang daripadanya dipadankan dengan sampel DNA anak lelaki,”
Akhirnya pada 31 Julai baru-baru ini, seorang suspek berjaya ditahan polis, manakala seorang lagi turut ditangkap beberapa hari kemudian. Suspek belum mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan tersebut (setakat ini).

Kejadian rogol 1994 di bandar Shahjahanpur
Imbas kembali, wanita itu menjadi tempat memuaskan nafsu oleh dua beradik lelaki selama enam bulan sehingga hamil luar nikah dan melahirkan seorang bayi lelaki pada 1994 dahulu.
“Kejadian itu sudah sangat lama tetapi luka yang timbul masih belum pulih. Ia telah membuatkan hidup saya seolah terhenti dan mengingati detik itu lagi,” kata wanita itu kepada pemberita seperti yang dilapor BBC.
Difahamkan, tertuduh, M (bukan nama sebenar) dan abangnya, N, tinggal di kawasan kejiranan itu dan sering melompat ke dinding rumahnya setiap kali mangsa bersendirian dan merogolnya.
Bagaimanapun wanita itu hanya mengetahui dirinya mengandung luar nikah apabila mendapati kesihatannya mula merosot setelah kakaknya membawa berjumpa doktor.
Jelas doktor, cadangan menggugurkan bayi luar nikah tersebut ditolak kerana faktor kesihatan wanita itu yang lemah serta usianya yang masih muda.
Ekoran itu, anak luar nikah itu akhirnya diserahkan kepada sebuah keluarga angkat sejurus dilahirkan, manakala wanita itu kembali tinggal semula bersama kakak dan keluarganya.
“Saya menderita disebabkan anak ini dan tidak sempat untuk melihat melihat wajahnya. Apabila saya bertanya kepada ibu, dia berkata saya akan mendapat peluang kedua dalam hidup,” katanya.
Namun difahamkan, mereka sekeluarga tidak membuat laporan polis kerana wanita tersebut takut akan suspek.

Tambahan pula, mereka juga mengancam untuk membunuh keluarganya dan membakar rumahnya jika memberitahu kepada sesiapa tentang kejadian rogol itu.
Selain itu, hasrat mangsa yang sebelum itu pernah bercita-cita untuk menyertai anggota polis ketika dewasa nanti juga musnah kerana terpaksa ponteng sekolah hingga tercicir dalam pelajaran gara-gara dua lelaki itu.
Oleh itu, dia dan keluarganya memutuskan untuk berpindah ke daerah Rampur bagi melarikan diri daripada kenangan trauma itu.
Tahun berganti tahun, sehinggalah pada tahun 2000, wanita itu telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lagi (anak kedua selepas anak pertama luar nikah).
Dia berharap perkahwinan itu membuka lembaran baharu untuk membantunya melupakan kejadian silam.
Bagaimanapun, enam tahun kemudian suaminya mendapat tentang rogol itu dan bertindak menyalahkan dirinya.
Punca anak mangsa rogol mahu mencari kebenaran
Sementara itu, lelaki (anak luar nikah) pula sering menghadapi diskriminasi disebabkan identitinya yang tidak ‘beribu’ dan ‘berayah’ hingga menyebabkan pelajar-pelajar di sekolah sering mengejeknya.
Bagaimanapun menurut sumber ibu angkatnya, lelaki itu hanya dapat mengetahui status bahawa dia rupanya anak angkat ketika selepas mendengar khabar daripada jiran sewaktu membesar.
Sehinggalah 13 tahun kemudian, lelaki itu tekad berpisah dengan ibu bapa angkatnya yang menjaganya sejak kecil dan kembali semula ke pangkuan ibu kandungnya.
Bagaimanapun lelaki itu mahu mengetahui identiti sebenar bapanya kerana dia tidak mempunyai nama keluarga. Oleh itu, dia sering bertanya kepada ibunya mengenai ‘ayah’ namun tidak diberitahu.
Wanita tersebut juga menjelaskan bahawa anaknya itu tidak dapat hidup tanpa nama tersebut sehingga mengancam untuk membunuh diri jika tidak mendedahkan nama bapanya.
Pada mulanya, wanita itu sering memarahinya kerana sering bertanya, namun akhirnya si ibu itu terpaksa mendedahkan perkara sebenar – bahawa dia dirogol dan lelaki itu anak luar nikah.
Apa yang mengejutkan, selepas memberitahu perkara sebenar, lelaki itu yang memberontak kemudiannya memberitahu bahawa dia perlu menegakkan keadilan dan memberi pengajaran kepada perogol terbabit.
Maka kedua-dua beranak itu memulakan usaha mereka, menggunakan khidmat peguam dan bantuan polis sehinggalah setahun kemudian, kedua-dua suspek tersebut berjaya tumpas di tangan pihak polis 31 Julai lepas.
Wanita itu berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada orang lain untuk tampil melaporkan jenayah yang terjadi kepada mereka, manakala anak lelakinya gembira setelah kedua-dua perogol durjana itu ditangkap.
Untuk rekod, terdapat beribu kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan di India setiap tahun. Pada 2020, statistik jenayah menunjukkan sebanyak 47,000 kes telah didaftarkan di bawah Perlindungan Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual India (Posco).
Sumber: BBC News