Pengambilan pekerja asing mahir di Australia dijangka akan terus meningkat sebanyak 40,000 setiap tahun dalam usaha kerajaan persekutuan cuba untuk memerangi kekurangan tenaga buruh nasional yang berterusan.
Kemasukkan migrasi akan dinaikkan kepada hampir 200,000 orang setahun daripada kadar semasa 160,000 selepas dua tahun penutupan sempadan berpunca dari pandemik yang melanda Dunia hingga membawa kepada krisis tenaga kerja negara.
Ahli Parlimen Bebas, Warringah Zali Steggall berkata, ia merupakan sebahagian daripada salah satu jalan penyelesaian, namun menegaskan golongan wanita harus diberi sokongan dan peranannya perlu diperkasa untuk membolehkan mereka turut serta dalam industri.
“Jika kita boleh menambah baik sistem penjagaan kanak-kanak, maka lebih ramai wanita boleh bekerja.
“Perhotelan, peruncitan, sektor penjagaan warga emas, kejururawatan, kami mempunyai begitu banyak sektor yang memerlukan tenaga kerja dari kaum wanita.
“Tenaga kerja asing merupakan salah satu jalan penyelesaian, namun ia akan mengambil masa yang agak lama serta akan menelan kos yang agak tinggi,” jelasnya, lapor 9News.
Menurutnya lagi, wujud keperluan untuk mengisi segera kekesongan jawatan yang ditawarkan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang. Oleh itu, buat masa ini Australia perlu mencari tenaga kerja tempatan sedia ada terlebih dahulu.
Memetik 9News, menurut data Biro Perangkaan Australian (ABS) baru-baru ini, terdapat 480,100 kekosongan jawatan di Australia, peningkatan 111.1 peratus sejak Februari 2020.
BACA: Mengembang Setiap Kali Batuk, Lelaki Menderita Hernia Sebesar Bola Di Perut
Sumber: 9News