SERDANG, 14 OGOS 2022 – Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) Tahun 2022 telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam satu majlis di Dewan D, MAEPS, Serdang hari ini.
Kehadiran jumlah pengunjung MAHA 2022 dicatatkan melebihi 1.4 juta pengunjung iaitu 1.2 juta pengunjung secara fizikal dan 266,000 pengunjung secara maya manakala, jumlah nilai jualan telah melangkaui RM260 juta.
Dr Ronald berkata MAHA 2022 kali ini merekodkan nilai jualan keseluruhan yang paling tinggi iaitu RM260 juta merangkumi jualan langsung, jualan dalam talian serta padanan perniagaan melibatkan lapan (8) syarikat pemasar dari luar negara akan membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Di samping ini, potensi pembiayaan yang direkodkan oleh Agrobank pula melibatkan 3,111 permohonan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM503 juta,” kata beliau.
MAHA kali ini telah menyaksikan pemeteraian 33 perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan nilai pelaburan lebih RM5.64 bilion. Perjanjian kerjasama ini melibatkan pelbagai pihak terdiri daripada pengusaha antarabangsa dan pengusaha tempatan.
Penganjuran MAHA 2022 yang bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ atau “Food Security for the Future” telah menampilkan 22 segmen khusus untuk mengangkat sektor agromakanan sebagai salah satu sektor yang berpotensi untuk diceburi oleh seluruh lapisan masyarakat selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana pendapatan.
Melalui Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair telah menawarkan lebih 15,000 peluang kerjaya khususnya kepada golongan muda dan graduan dalam sektor agromakanan.
3 anugerah khas turut disampaikan dalam majlis tersebut, antaranya Anugerah Pavilion Negeri Terbaik (Perak), Tempat Kedua (Selangor) dan Ketiga (Kedah), Anugerah Segmen Paling Viral (Miracle Garden) dan Anugerah Jualan Paling Tinggi (Castle of Fruit).
Bagi menampilkan kelainan pada edisi MAHA 2022, satu Anugerah Istimewa telah diberikan kepada pengunjung MAHA ke-1,100,001 yang telah menerima wang tunai RM3,000, baucar Agrobazaar FAMA RM1,000, baucar MAEPS Shopee RM500 dan bekalan susu segar sebulan daripada sumbangan oleh Summerfield.
Sebelum ini, pengunjung bertuah ke-750,000, ke-850,000 dan ke-1 juta juga masing- masing telah menerima wang tunai RM1,000 dan baucar RM500 bagi pengunjung bertuah ke-750,000 dan ke-850,000, manakala wang tunai RM2,000 dan baucar RM1,000 bagi pengunjung bertuah ke-1 juta.
Turut menyerikan majlis penutupan, artis undangan terkenal Ramli Sarip dan Marsha Milan yang menghiburkan para pengunjung dengan beberapa buah lagu.
Dalam pada itu, satu pembaharuan akan dilaksanakan pada MAHA 2024 melalui penganjuran sebuah pameran pertanian mega yang lebih memperluaskan penyertaan lebih ramai para pempamer dan rakan-rakan strategik dari luar negara.
Langkah ini selari dengan usaha Kementerian untuk memantapkan kolaborasi antarabangsa bagi memperkukuh rantaian nilai eksport dan meningkatkan pertumbuhan pasaran selain menambah baik akses pasaran luar negara bagi pengeluar makanan tempatan.
Sebagai permulaan MAHA 2024, laman padi akan menjadi anak angkat kepada MAFI melalui Bahagian Pembangunan Industri Padi bersama Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) untuk dijadikan sebagai tapak agro-pelancongan yang kekal dan pusat latihan kepada peserta, penyelidik dan sebagainya.
MAEPS, Serdang juga akan dijadikan sebagai hab agro-pelancongan untuk mempromosikan kepada umum semua subsektor agromakanan.
Fasiliti kesemua Pavilion Negeri juga boleh digunakan secara optimum bagi terus menonjolkan keunikan kesenian budaya dan kepelbagaian produk agromakanan di Malaysia.
Turut hadir dalam majlis, YB Datuk Seri Haji Ahmad Bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, YB Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, Timbalan Menteri Perpaduan Negara serta YBhg. Datuk Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.