Siakap Keli
perang nuklear
Gambar: Science.org

Bumi Jadi Sejuk, Kajian Dapati Lima Bilion Manusia Akan Mati Jika Perang Nuklear Amerika-Rusia Meletus

Bumi Jadi Sejuk, Kajian Dapati Lima Bilion Manusia Akan Mati Jika Perang Nuklear Amerika-Rusia Meletus

Sekurang-kurangnya lima bilion manusia diramal akan terkorban jika perang nuklear meletus antara Amerika Syarikat, sekutunya dengan Rusia, menurut satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis.

Salah satu puncanya adalah disebabkan masalah kebuluran global yang dicetuskan oleh jelaga akibat letupan nuklear yang menghalang cahaya matahari tiba di Bumi, sekaligus menyukarkan aktiviti pertanian dijalankan.

Malah, angka korban mereka yang maut akibat kebuluran selepas perang mungkin melebihi jumlah mereka yang maut akibat letupan nuklear itu sendiri.

Para saintis di Universiti Rutgers memetakan kemungkinan enam kesan senario konflik nuklear iaitu peperangan berskala penuh antara AS dan Rusia dimana ia berupaya menghapuskan lebih separuh populasi manusia yang ada di atas muka Bumi ini, kata mereka dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Food.

Anggaran yang dibuat berdasarkan pengiraan berapa banyak jelaga akan memenuhi atmosfera hasil letupan dahsyat yang disebabkan oleh senjata nuklear. Penyelidik menggunakan alat ramalan iklim yang disokong oleh Pusat Penyelidikan Atmosfera Kebangsaan, yang membolehkan mereka menganggarkan produktiviti tanaman utama setiap negara.

Menurut laporan itu lagi, bahkan konflik nuklear skala kecil, misalnya antara India dengan Pakistan sahaja sudah pun cukup untuk memberikan kesan buruk kepada Bumi, apatah lagi jika konflik nuklear skala besar yang mungkin berlarutan berminggu-minggu antara dua pihak yang memiliki lebih 90 peratus daripada keseluruhan senjata nuklear yang ada di dunia ketika ini meletus.

Laporan umum menyebut bahawa Amerika Syarikat memiliki sebanyak 5,428 senjata nuklear manakala Rusia memiliki sebanyak 5,977 senjata nuklear. Angka berkenaan adalah angka yang diketahui umum.

Misalnya, peperangan selama seminggu melibatkan penggunaan 100 senjata nuklear yang dianggarkan akan melepaskan 5 Teragram (TG) jelaga, kira-kira 11 bilion paun, akan membunuh 27 juta manusia secara terus.

Dalam tempoh dua tahun, dimana aktiviti perdagangan seluruh dunia terganggu dan suhu jatuh, kebuluran yang tercetus akan mengakibatkan 255 juta manusia terkorban. Perlu diingatkan, angka ini diperoleh dengan anggapan bahawa baki manusia yang terselamat mendapat keperluan makanan minimum yang diperlukan untuk hidup setiap hari, iaitu kira-kira 1,999 kalori sehari.

Manakala dalam senario peperangan nuklear skala penuh pula, iaitu dengan anggaran penggunaan 4,400 senjata nuklear dan melepaskan 150 Tg jelaga (330.6 bilion paun) oleh kedua-dua pihak, ia berupaya membunuh 360 juta nyawa secara terus dan mengakibatkan lebih lima bilion lagi terkorban akibat kebuluran.

Jumlah jelaga yang terbebas ke angkasa akan menyebabkan suhu Bumi jatuh lebih 14 darjah celcius. Berdasarkan kajian itu lagi, impak kepada alam akibat peperangan nuklear skala penuh itu akan mencapai kemuncak dalam beberapa tahun awal, namun boleh berkekalan untuk beberapa dekad lamanya.

Dalam situasi terburuk, pelepasan sebanyak 150 Tg jelaga akan mengakibatkan hampir 90 peratus pengeluaran hasil pertanian seluruh dunia terjejas selepas tiga hingga empat tahun perang meletus.

Ia adalah jumlah yang sangat besar memandangkan perubahan 7 peratus pengeluaran makanan dunia sahaja sudah cukup untuk memberikan impak kepada banyak negara.

“Data ini memberitahu kami satu perkara,” kata Alan Robock, pengarang bersama kajian itu dan profesor sains iklim di Jabatan Sains Alam Sekitar di Universiti Rutgers.

“Kita mesti menghalang perang nuklear daripada berlaku”.

Sumber: NDTV CBS NEWS

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka