Dua beranak dilaporkan maut dan empat lagi dilapor cedera dalam nahas kemalangan jalan raya yang berlaku berhampiran Felcra Dusun Panti, Kota Tinggi melibatkan dua buah kereta.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pada pukul 10.51 pagi mereka telah menerima laporan berkaitan kemalangan yang berlaku di kawasan tersebut.
“Seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Terdapat empat orang mangsa telah berjaya keluar daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba manakala dua orang mangsa perempuan dewasa tersepit di dalam kereta Proton Wira,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Kosmo!.
Menurut laporan, kedua-dua mangsa dipercayai tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota PKO dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa merupakan pasangan anak beranak yang tinggal di Mersing yang dikenali sebagai Titah Abd Ghani, 58 dan anaknya, Samsiah Abdullah, 21. Mangsa dipercayai menaiki kereta yang dipandu oleh menantunya yang terselamat dalam nahas tersebut dan hanya mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, tiga mangsa lagi yang menaiki kereta jenis Proton Saga turut mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
BACA: Ngeri, Tular Buaya Besar Heret Mayat Lelaki Berbogel, Padah Tak Hirau Papan Tanda Amaran
Sumber: Kosmo!