Ketahui ukuran jarak ini dulu sebelum anda membeli mangkuk tandas
Bagi mereka yang sedang mahu berpindah ke rumah baru dan melakukan ubah suai rumah terutama bahagian tandas, banyak yang perlu anda pertimbangkan sebelum membuat pembelian barang-barang tertentu, misalnya mangkuk tandas.
Selain perlu tahu mengenai reka bentuk mangkuk tandas yang bersesuai, perkara penting yang anda kena tahu juga adalah berkenaan ukuran jarak antara dinding dengan lubang paip buangan yang akan disambungkan dengan mangkuk tandas tadi.
Bagaimana kita nak tahu ukuran tersebut? Mujurlah, seorang arkitek, Cik Huda Mahmud, sudi berkongsi ilmu mengenai cara memilih mangkuk tandas yang sesuai, terutama bagi mereka yang mahu membuat pengubahsuaian sendiri.
Menurut Cik Huda, perkara pertama yang perlu anda buat sebelum membuat pembelian adalah memastikan jarak antara dinding dengan lubang paip buangan terlebih dahulu.
Biasanya, ukuran yang perlu anda tahu adalah 150/200/250/305/400mm.
Kongsi beliau lagi, selain mengambil kira ukuran jarak, anda juga perlu ambil tahu mengenai jenis-jenis perangkap mangkuk tandas.
Dalam perkongsian tersebut, beliau menyebut mengenai dua jenis perangkap iaitu jenis P-trap iaitu paip buangan yang menghala ke dinding. Manakala yang kedua pula adalah jenis S-trap iaitu paip buangan yang terus menghala ke lantai.

Jadi, selain menentukan ukuran jarak, anda juga perlu memastikan posisi paip buangan sama ada berada di atas lantai ataupun di dinding.
Sekurang-kurangnya, itulah dua perkara yang perlu anda cakna sekiranya berhajat untuk membuat pengubahsuaian sendiri ruangan tandas di rumah anda. Ia bukan sahaja memudahkan kerja-kerja perancangan, malah mampu menyelamatkan duit anda daripada hangus begitu sahaja seandainya peralatan yang dibeli tidak boleh diguna.
Semoga perkongsian daripada Cik Huda memberi manfaat kepada pembaca semua. Jika masih lagi tidak pasti, anda boleh mengupah kontraktor untuk membuat pengubahsuaian kerana ia lebih selamat atau minta bantuan mereka yang lebih berkemahiran untuk membuat ukuran dan menentukan jenis perangkap mangkuk tandas yang bersesuaian.
Sumber: Huda Mahmud