Satu kawasan berdekatan sebuah pentas dalam pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur, Pavilion dilapor mengalami ‘letupan’ kecil dalam satu kejadian petang tadi.
Kejadian yang mencemaskan pengunjung di dalam bangunan tersebut sempat dirakam oleh pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi dan dikongsikan di media sosial TikTok.
Difahamkan, kejadian letupan kecil itu dipercayai berlaku di belakang pentas festival Kuala Lumpur Fashion Week 2022 yang terletak di lobi pusat beli-belah berkenaan.
Berdasarkan rakaman video, kelihatan beberapa anggota polis dipercayai cuba bertindak membantu menangani masalah yang berlaku di bahagian belakang pentas dengan alat pemadam kebakaran.
Bagaimanapun, sewaktu anggota polis tersebut cuba mengawal keadaan, muncul satu letupan kecil hingga api menyambar kelihatan secara tiba-tiba dalam tempoh beberapa saat kemudian.
“Bau asap, orang ramai semua dah kelam kabut berkumpul,”maklum Datuk Aznil atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Nil dalam rakaman itu.
@datukaznilnawawi Paknil tengah tunggu giliran nak masuk untuk walk baju @Neonate Clothing Co Tiba2….
Bagaimanapun difahamkan, punca masalah serta letupan kecil di belakang pentas tersebut masih belum dapat dikenal pasti lagi setakat ini.
Video yang dikongsikan itu mendapat lebih 463,000 tontonan dan lebih 16,800 tanda ‘Suka’ di aplikasi TikTok setakat laporan ini ditulis.
Sementara itu, video tersebut juga tular di media sosial hingga dihujani hampir 500 komentar oleh segenap warganet.
“Allah bagi teguran,” komen salah seorang pengguna.
“Takde siren kecemasan dibunyikan ke? Sepatutnya kena ada,” kata seorang pengguna lagi.
Pavilion KL terbakar
Imbas kembali laporan terdahulu Siakap Keli kira-kira lima bulan lalu, pusat beli-belah terkenal itu juga pernah terbakar dalam kejadian 2:10 petang pada 30 Mac lepas.
Pihak pengurusan Pavilion menerusi satu kenyataan ketika itu memaklumkan, tragedi kebakaran tersebut berpunca daripada dapur di sebuah restoran yang terletak di aras satu pusat membeli-belah berkenaan.
“Api tersebut merebak dengan sangat cepat dan ia telah dilaporkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Jabatan bomba bersama-sama dengan pegawai operasi dan keselamatan kami sedang menyiasat punca kebakaran tersebut berlaku.
“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku dan operasi perniagaan berjalan seperti biasa,” maklum kenyataan tersebut dalam laporan itu.
Dalam kenyataan sama, pihaknya akan terus mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan pengunjung dan penyewa (peniaga premis).
“Terima kasih dan jaga diri,” tambahnya.
Sementara itu, turut tular di Twitter beberapa keping foto yang memaparkan detik kejadian cemas tersebut.
Antara foto yang sempat dirakam adalah ketika kepulan asap hitam naik ke udara dari pemandangan sudut bawah serta ketibaan anggota bomba di tempat kejadian.
Sumber: Tiktok datukaznilnawawi