Siakap Keli
Kredit: Twitter & Shutterstock

Kota Pontianak: Didakwa Berasal Dari Tragedi Sultan Diganggu ‘Cik Ponti’ Sampai Terpaksa Tembak Meriam

“Uissh, tak cerita nak pergi outstation. Nanti kau pergi dekat mana?” Muiz bertanya kepada rakannya, Haikal sewaktu mereka menjamah makanan di Kafe Bumbu Kito pada waktu malam.

“Hahaha, biasa je lah Muiz, Tak jauh mana pun. Dekat Kota Pontianak je,” Haikal ketawa kecil

Muka Muiz bertukar menjadi pucat lesi.

“Ko…kota Ponti…..anak?” suara Muiz yang terketar-ketar.

“Ya, Muiz. Kota Pontianak dekat Indonesia. Sabar Muiz, aku tahu kau penakut, tapi tak de apa yang perlu kau risaukan,” Haikal cuba menenangkan rakannya yang penakut itu.

Untuk menenangkan rakannya, dia memberitahu serba sedikit mengenai Kota Pontianak.

Ya, tiada sesiapa yang akan merasa tenang apabila mendengar nama lokasi ini. Nama tempat ini sinonim dengan nama hantu sangat ditakuti di Nusantara. Kisah wanita yang dibunuh ketika hamil dan bertukar menjadi hantu demi membalas dendam kesumatnya. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa yang sangka, nama hantu ini telah diabadikan dalam suatu tempat di Kalimantan Barat, Indonesia.

Nama kota yang bersifat agak ‘unik’ ini sudah semestinya menzahirkan rasa ingin tahu mengenai ‘mengapa’ tempat ini dinamakan sedemikian. Adakah tempat ini merupakan ‘lokasi panas’ bagi hantu ini? Ataupun, terdapat kisah lain yang telah menyebabkan nama yang agak meyeramkan ini terukir pada pintu kota ini?

Gambar hiasan | Kredit: Twitter

Sejarah Penubuhan Kota Pontianak

Pada tanggal 24 Rejab 1181 Hijrah (23 Oktober 1771 Masihi), terdapat rombongan Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie yang membuka hutan di persimpangan tiga sungai iaitu Sungai Landak, Sungai Kapuas Kecil dan Sungai Kapuas. Tujuan pembukaan hutan tersebut adalah untuk mendirikan balai dan rumah sebagai tempat tinggal dan diberikan  nama Pontianak. Berkat kepemimpinan Syarif Abdurrahman Alkadrie, Kota Pontianak telah berkembang menjadi satu kota perdagangan dan pelabuhan.

Seterusnya, pada tahun 1192 Hijrah, Syarif Abdurrahman Alkadrie telah ditabalkan sebagai Sultan Pontianak yang pertama. Beliau telah meletak pusat pemerintahan di Masjid Raya Sultan Abdurrahman Alkadrie dan Istana Kadariah, yang sekarang terletak di Kelurahan Dalam Bugis, Pontianak Timur.

Gambar hiasan | Kredit: Sindonews

Kota Pontianak merupakan ibu kota wilayah Kalimantan Barat. Bagi etnik Tionghua, kota tersebut dikenali dengan nama Kun Tian. Dalam Kota Pontianak, terdapat dua buah sungai. Pertama, sungai yang terpanjang di Indonesia iaitu, Sungai Kampuas dan kedua, Sungai Landak.

Sejarawan Belanda VJ Verth dalam penulisan yang berjudul Borneo Wester Afdeeling, menceritakan sejarah penubuhan Kota Pontianak dengan versi yang berbeza. Ia menyebut bahawa Belanda telah memasuki Kota Pontianak dari Batavia pada tahun 1194 Hijrah atau 1773 Masihi. Dalam tulisan tersbut, Syarif Abdullah adalah anak lelaki bagi seorang ulama bernama Syarif Hussein bin Ahmed Alkadrie atau dalam versi lain menyebutnya sebagai Al Habib Husin.

Kredit: Catawiki

Syarif Abdullah telah meninggalkan Kerajaan Menpawah dan menjadi pengembara. Beliau telah tiba di Banjarmasin dan menikahi adik Sultan Banjar, Sunan Nata Alam dan beliau ditabalkan sebagai seorang pangeran. Pada masa yang sama, beliau juga memiliki perniagaan yang berjaya. Lalu, beliau telah mempersiapkan kapal pecalang dan perahu lancang untuk melawan Belanda.

Dengan bantuan Sultan Pasir, Syarif Abdullah telah membajak kapal Belanda dan juga kapal Inggeris yang berdekatan dengan Bangkahulu. Dengan kekayaannya, beliau telah mendirikan satu pemukiman yang menjadi pusat perdagangan dan kini dikenal dengan nama Pontianak.

Kini, Kota Pontianak terus menjadi kota yang berkembang pesat dan layak menjadi destinasi pelancongan.

Asal-usul nama Pontianak

Selain sejarah penubuhan Kota Pontianak, terdapat pelbagai versi mengenai asal-usul nama Pontianak ini, bermula daripada kisah pontianak yang mengganggu Abdurrahman Alkadrie, Pohon Punti, Pontian dan Kun Tian.

1. Kisah Gangguan Pontianak

Menurut buku Asal-usul Kota-kota di Indonesia Tempo Doeloe yang ditulis Zaenuddin HM, nama Pontianak tidak lari daripada kisah hantu iaitu kisah pontianak yang selalu mengganggu Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie. Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie adalah pengasas serta menjadi sultan pertama di Pontianak.

Menurut kisahnya, semasa menyusuri Sungai Kapuas, Sultan Syarif selalu diganggu pontianak. Baginda pun terpaksa melepaskan tembakan meriam untuk mengusir hantu pontianak itu. Selain itu, lokasi peluru meriam yang ditembak itu jatuh akan menjadi  sebuah lokasi kesultanan. Peluru meriam tersebut jatuh di persimpangan antara Sungai Kapuas dan Sungai Landak yang kini dikenali sebagai Bering.

Gambar hiasan | Kredit: Rashidsalim.com

2. Berasal dari pohon punti

Menurut catatan sejarah dan asal-usul nama Pontianak, selain kisah mengenai gangguan pontianak, ada lagi kisah yang memberitahu bahawa asal-usul nama Pontianak adalah berasal daripada pohon punti. Pohon punti yang bermaksud pokok-pokok yang sangat tinggi telah disebut dalam surat Husein bin Abdul Rahman Al-Aidrus kepada Syarif Yusuf Al-Kadrie.

Gambar hiasan | Kredit: Facebook

3. Berasal dari Pontian

Tidak cukup dengan pohon punti, nama Pontianak juga dikatakan berasal daripada perkataan Pontian. Pontian bermaksud tempat berhenti  atau tempat singgah. Lokasinya yang strategik telah menjadikan wilayah tersebut menjadi tempat persinggahan sementara untuk para pelayar dan pedagang.

4. Berasal dari Kun Tian

Seterusnya, sejarah penamaan Kota Pontianak juga dikatakan berasal dari perkataan Kun Tian. Memiliki persamaan dengan kisah Pontian, Kun Tian dalam bahasa Mandarin membawa maksud sebagai tempat berhenti.

Secara keseluruhan, sejarah Kota Pontianak dan asal usul nama kota ini memiliki latar kisah yang seakan-akan sama. Namun, sebahagian besar warga emas Tionghoa di Pontianak masih memanggil kota tersebut dengan nama Kun Tian.

“Kan aku cakap, itu nama tempat je. Janganlah risau,” kata-kata Haikal yang memberikan jaminan kepada Muiz untuk tidak merasa takut.

Muiz mengangguk, “Ya tak ya juga kan? Sekarang mana ada semua benda tu. Karut marut je lah. Eh, kau ni suka berahsia dengan aku, dah kahwin tapi tak bagi tahu pun,”

“Eh, sejak bila aku kahwin?” Haikal mengerutkan dahi.

“Habis tu, siapa perempuan baju putih yang makan sebelah kau?” Muiz bertanya sambil menunjukkan reaksi kurang senang.

Mereka memandang sesama sendiri sambil meneguk air liur.

“Eh, dah pukul 2 pagilah. Apa kata kita balik dulu? Hehe…” Haikal cuba bertenang walaupun suaranya sudah jelas menunjukkan bahawa dia sudah tidak mampu mengawal rasa takutnya.

Tanpa memandang ke arah belakang, Muiz dan Haikal terus lari meninggalkan tempat tersebut.

Sumber: KOMPAS.com

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.