Masih Kekal Di Lokasi Sama, Peta Lama Rekod Kewujudan Lokasi Perigi Hang Li Po Sejak Ratusan Tahun
Seperti yang diketahui, negeri Melaka menyimpan 1001 sejarah yang amat masyhur pada satu ketika dahulu dan kekal menjadi perhatian sehingga kini.
Keagungan empayar Melaka itu juga dapat dilihat menerusi kehebatan tokoh-tokoh di zaman tersebut.
Antara tokoh yang sangat popular adalah Hang Li Po iaitu isteri kepada Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah.
Bercakap mengenainya, tahukah anda bahawa Sultan Mansur Syah pernah memerintahkan penggalian sebuah perigi yang dikhususkan untuk kegunaan Hang Li Po.
Walaupun ratusan tahun berlalu, perigi tersebut masih lagi wujud dan kekal di lokasi yang sama.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, mari ikuti perkongsian Persatuan Kartografi Melaka di bawah ini.
Perigi Raja atau turut dikenali sebagai Perigi Hang Li Po yang terletak di kawasan Bukit Cina, Melaka ini merupakan antara perigi yang tertua di Malaysia. Berdasarkan sejarah, penggalian perigi ini telah diperintahkan oleh Sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah khusus untuk kegunaan isterinya, Hang Li Po.
Perigi ini telah dipapar dan dinyatakan di dalam beberapa buah naskah kartografi lama antaranya di dalam peta yang dihasilkan Manuel Godinho de Eredia (PLANTA : DA : CIDADE : E : POVO : ACOENS : DE : MALACA) tahun 1604 (Ditulis sebagai Prigue Raja), Map of Malakka. Plan oder Grund Riss der Stadt u. Vest. Malacca (Sekitar tahun 1735-1744) dan Situatie-plan des Kasteels en der Stad Malacca, (Sekitar tahun 1750-1796).
Di dalam peta PLANTA : DA : CIDADE : E : POVO : ACOENS : DE : MALACA (Oleh Manuel Godinho de Eredia, 1604), kelihatan punca atau hulu Sungai Air Leleh (Aerlele) adalah berhampiran dengan perigi bersejarah tersebut.

Sumber: Persatuan Kartografi Melaka