Dakwa Sering Dipukul & Dicurangi, Wanita Nekad Bunuh, Kerat & Masak Mayat Suami
IRAN – Seorang wanita berusia 22 tahun telah ditahan kerana membunuh sebelum mengerat mayat dan memasak suaminya kerana curang, lapor Mirror UK.
Suspek merupakan ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, memotong mayat suaminya dan memasak anggota badannya sebelum ditemui polis di Iran pada Sabtu, 13 Ogos.
Media tempatan melaporkan bahawa polis menemui mayat lelaki yang dianggarkan berusia lewat 30-an, di sebuah rumah di bandar Eslamshahr di Wilayah Tehran.
Pihak berkuasa menerima panggilan telefon daripada jiran selepas menyedari bau busuk datang dari rumah pasangan itu.
Suspek mendedahkan bahawa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.
Siasatan turut mendengar laporan wanita itu mengenai penderaan yang didakwa dilakukan oleh arwah suaminya.
“Saya ternampak suami bersama kekasih di rumah, kami bertengkar selepas wanita itu pergi. Suami saya kemudiannya mengambil sebilah pisau.
“Saya berkata padanya jikalau dia mahu curang dengan saya, dia patut bunuh saya supaya saya tidak boleh lagi menghalangnya. Dia kemudiannya telah menghulurkan pisau tersebut kepada saya,” ujar wanita tersebut.
Wanita itu kemudiannya dilaporkan telah mengambil pisau tersebut dan terus menikam mangsa.
Mayat lelaki itu telah dibawa pihak berkuasa untuk bedah siasat.
Selain itu, suspek memberitahu penyiasat bahawa suaminya pernah memukul dia dan anak perempuannya yang berusia lima tahun dan sudah beberapa kali curang.
“Saya sudah penat dengan kelakuan ini dan itulah sebabnya saya membunuhnya.”
Ketua polis Eslamshahr Kolonel Ali Aghakarkhane berkata: “Pada mulanya, tertuduh membuat kenyataan bercanggah, tetapi kemudian dia menerangkan pembunuhan itu secara terperinci dan mendakwa bahawa dia membunuh suaminya kerana mempunyai hubungan dengan perempuan lain.”
Wanita itu memberitahu media tempatan bahawa dia bimbang tentang kesan daripada tindakannya dan dia amat merindui anak perempuannya.
Dia dilaporkan mendedahkan bahawa suaminya merupakan sepupunya dan mereka berkahwin tujuh tahun lalu ketika dia baru berusia 15 tahun.
Tiada petunjuk dalam laporan atau sumber Iran tentang mengapa dia memasak mayat suaminya.
Sumber : Mirror UK