Tular Video Cubaan Ragut, Dua Lelaki Berjaya Ditahan Polis
Seorang wanita berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa ragut dua orang lelaki dalam kejadian tepi lorong kuda Persiaran KLCC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata bahawa pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kejadian itu selepas menerima laporan pada 21 Ogos lalu.
Menurutnya, kedua-dua suspek tersebut kini telah ditahan reman susulan dari laporan tersebut.
“Seramai dua orang yang terlibat terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan seorang lelaki bukan warganegara berusia 35 tahun telah ditangkap.
“Pihak polis juga telah merampas sebuah motosikal jenis Yamaha, dua topi keledar dan satu rangkai kunci motosikal.
“Kedua-dua tangkapan direman selama lima hari mulai 22 Ogos sehingga 26 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dinasihatkan untuk menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi MERS 999 atau IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Terdahulu, tular video kejadian berkenaan yang memaparkan seorang wanita bergelut dengan dua lelaki yang cuba meragutnya.
Dalam video itu juga dapat dilihat beberapa orang pengguna jalan raya yang lain memberhentikan kenderaan mereka untuk membantu mangsa.
BACA: Rakaman Kejadian Ragut Di Taman Selayang Jaya Tular, Dua Lelaki Diburu Polis
Sumber: Polis KL