Detik Cemas Kapal Layar Karam Di Pantai Itali Tular Di Media Sosial
Sebuah kapal layar besar dilaporkan telah karam di pantai selatan Itali dan menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Memetik laporan Daily Mail, kapal yang dibina di Monaco pada tahun 2007 itu telah berlayar dari Gallipoli ke Milazz0 di Pulau Sicily pada Sabtu lalu sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
Difahamkan, ketika menyeberangi Teluk Squillace, kapal itu mengalami masalah sehingga menyebabkan kapten membuat panggilan kecemasan pada lewat malam.

Susulan itu kapal pengawal pantai telah dihantar dari pelabuhan Crotone dan mereka mendapati bahawa bot itu telah separuh tenggelam di dalam air di sekitar sembilan batu nautika dari Catanzaro Marina.
Ketika kejadian, empat penumpang dan seorang anak kapal yang semuanya berbangsa Itali segera dibawa keluar dari kapal tersebut, meninggalkan empat anak kapal lain termasuk kapten yang cuba menyelamatkan kapal itu.
Sebuah bot tunda kemudiannya dihantar dari Crotone untuk menunda kembali kapal itu ke pelabuhan.

Bagaimanapun, kapal itu sudah mula tidak seimbang dan terus ‘ditarik’ air. Hal ini dapat dilihat menerusi rakaman yang diambil oleh pengawal pantai Itali apabila bahagian belakang kapal itu ‘hilang’ dihanyut ombak.
Keadaan itu memaksa penyelamat berhenti menariknya dan kemudian ia secara keseluruhannya tenggelam dengan sangat pantas sekitar jam 1 tengah hari pada Ahad lalu.
Sementara itu, siasatan kini telah dilancarkan untuk mengetahui punca kapal itu karam.
Sumber: Daily Mail