Hanya RM 5 Sehari, Ini Cara Nak Beli MyCity Pass, Boleh Naik LRT, MRT, Monorel & BRT Tanpa Had ‘Pusing’ KL
Jika anda berhajat untuk bercuti di Kuala Lumpur atau meluangkan masa untuk menjelah ibu kota, menggunakan pengangkutan peribadi mungkin bukan satu pilihan yang patut dipertimbangkan. Mengambil kira situasi sesak yang kerap berlaku, ia mungkin akan menjejaskan pengalaman percutian anda.
Lalu, apakah pilihan yang kita ada untuk ‘pusing-pusing’ melihat keindahan kota ini? Berjalan kaki mungkin menjadi pilihan yang paling tidak digemari, memandangkan Malaysia adalah negara tropika dengan cuacanya boleh berubah sekelip mata. Tengah hari yang panas, boleh beralih kepada hujan secara tiba-tiba, pening jugak kan nanti.
Apakata, anda guna sahaja perkhidmatan awam yang disediakan oleh Rapid KL. Untuk pengetahuan anda, Rapid KL menawarkan pass perjalanan tanpa had, MyCity Pass, satu hari dan tiga hari yang tersedia untuk perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel KL.
MyCity Pass sebenarnya ditawarkan sejak September tahun lepas lagi, tapi mungkin ramai yang terlepas pandang atau tak pernah tahu pun ia ada ditawarkan.
Pass perjalanan ini hanya ditawarkan kepada rakyat Malaysia sahaja. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pass ini tersedia untuk perjalanan satu dan tiga hari. Dengan pass ini, anda boleh menggunakan tiga perkhidmatan tersebut tanpa had, bagi tempoh hari bergantung kepada pass yang dibeli. Jadi, dengan mengambil manfaat pass ini, anda tak perlu rungsing lagi apabila mahu menyelusuri Kuala Lumpur, ikut sahaja kemana ia membawa anda.
Di bawah ini, kami kongsikan secara lebih terperinci berkenaan pass ini berserta harga yang perlu dibayar oleh pelanggan.

Untuk pembelian pertama bagi MyCityPass satu hari, anda akan dikenakan bayaran RM 15 termasuk tambah nilai Touch N’ Go bernilai RM 5. Nilai minimum RM 5 diperlukan untuk membolehkan pass satu hari digunakan di semua rangkaian rel dan BRT Rapid KL. Sah untuk satu hari sahaja.
Manakala bagi MyCity Pass 3 hari, anda dikenakan bayaran RM 25 ketika pembelian pertama kali, termasuk tambah nilai Touch N’ Go RM 5. Anda juga memerlukan nilai minimum RM 5 untuk membolehkan pass ini digunakan di semua rangkaian rel dan BRT Rapid KL selama tiga hari. Sah untuk tiga hari sahaja.
Nak beli dimana pass ini? Anda boleh mendapatkan pass ini di Pejabat Khidmat Pelanggan Rapid KL di semua stesen LRT, MRT, Moneral dan stesen BRT.
Oh ya, jangan lupa bawa kad Touch N’ Go semasa membuat pembelian nanti, dengan baki minima RM 5. Kod MyCity Pass ini nanti akan dimasukkan ke dalam kad Touch N’ Go anda. Jika anda tidak memiliki kad Touch N’ Go, anda boleh membeli kad tersebut di pusat khidmat pelanggan yang anda kunjungi.
Sumber: My Rapid