Lelaki Ugut Bunuh Bekas Kekasih Ditahan, Kecewa Hubungan Enggan Diteruskan
Seorang lelaki telah mengugut bunuh bekas teman wanitanya selepas mangsa dipercayai enggan meneruskan hubungan cinta bersamanya.
Memetik laporan Kosmo, kejadian tersebut berlaku di Taman Ukay Bistari pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian berlaku apabila mangsa yang merupakan remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspak untuk menuntut ganti rugi.
“Mangsa telah menuntut ganti rugi perbelanjaan semasa bercinta sebanyak RM700 sebelum lelaki terbabit menolak mangsa dan mengacu dua jenis pisau berlainan mengugut akan membunuh mangsa kerana enggan meneruskan hubungan bersama suspek.
“Suspek juga turut merampas telefon bimbit remaja perempuan itu dan menghempas ke lantai mengakibatkan telefon mangsa rosak,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan kejadian itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun yang bekerja sebagai mekanik telah ditahan pada jam 10.30 malam tadi.
Pihak polis juga turut merampas sebatang cota, dua bilah pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan semasa kejadian.
“Reman akan dipohon hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Sumber: Kosmo