Peristiwa Berdarah Bukit Kepong, Perjuangan Menentang Komunis Paling Dikenang Dalam Sejarah
Dalam tak sedar, kita akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-65 bagi tanah air kesayangan kita, Malaysia. Malaya telah bebas daripada cengkaman penjajah pada tahun 1957. Penurunan bendera Union Jack dan pengibaran jalur Gemilang di Dataran Merdeka pada 12.00 malam, 31 Ogos telah menanda era baru untuk negara kita.
Mari kita berfikir sejenak. Pada hari ni, kita dapat melihata kanak-kanak menyarungkan uniform sekolah mereka dan pergi ke sekolah tanpa ada sebarang masalah. Kita pergi ke tempat kerja tanpa ada sebarang rasa risau jika tiba-tiba diserang hendap oleh pihak musuh. Rakyat malaysia juga bebas untuk makan makanan apa yang kita mahu, tanpa sebarang catuan.
Keamanan ini tidak sama jika kita kembali ke zaman dahulu, sewaktu bumi Malaysia ini masih tidak lagi mendapatkan namanya. Nenek moyang kita berpenat lelah untuk mengaut hasil bumi, mengusahakan ladang tetapi hasil kuntungan dapat di tangan orang lain. Kedengaran seolah-olah mengemis di tanah sendiri. Bukan itu sahaja, setiap kali langkah kaki diorak, semakin tinggi rasa kerisauan yang terpahat dalam hati.

“Adakah aku akan masih hidup selepas ini?”
Persoalan ini juga sering bermain di dalam fikiran pejuang di barisan pertahanan negara pada masa itu. Sudah semestinya, tiada sesiapa yang sanggup melepaskan ahli keluarganya untuk masuk ke medan pertempuran, tetapi apakah daya. Sudah menjadi adat bagi sesuatu kemenangan itu perlu disulami dengan pengorbanan.
Mari Kita Mengimbas Kembali Peristiwa Bukit Kepong
Keberanian, satu kata nilai yang perlu dimiliki untuk mencapai kejayaan. Nilai keberanian ini juga dapat memberikan definisi terhadap perjuangan beberapa insan, yang boleh dikatakan sebagai wira dalam peristiwa ini. Peristiwa Bukit Kepong merupakan satu tragedi berdarah yang pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Pada 72 tahun lalu, Balai Polis Bukit Kepong telah musnah disebabkan serangan pihak Komunis yang disifatkan sangat tragis.

Motif Komunis Menyerang Balai Polis Bukit Kepong
Sebuah pekan terpencil yang terletak 60 km dari bandar Muar, menjadi sasaran gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang ketika itu sedang memberontak melawan pihak British. Mereka menyasarkan balai polis tersebut disebabkan kedudukannya yang terpencil dan kelihatan seperti mudah untuk ditakluki.
Hal ini demikian kerana, pihak Komunis baru sahaja mengalami kekalahan teruk di Labis yang telah mengakibatkan 27 kematian, manakala 17 yang lain cedera. Mereka memilih untuk menyerang balai polis ini untuk menaikkan semula moral mereka selepas mengalami kekalahan teruk.

Kronologi Tragedi Berdarah di Balai Polis Bukit Kepong
Pada 4:15 pagi 22 Februari 1950, ia juga merupakan hari kedua untuk sambutan Tahun Baru Cina Kedua yang telah menjadi titik permulaan tragedi berdarah ini. Sarjan Jamil Mohd Shah dan 21 orang polis dan polis bantuan telah dikepung dan diserang oleh kira-kira 185 anggota gerila komunis pimpinan Mat Indera. Serangan secara tiba-tiba itu berlaku ketika pihak polis sedang bertugas di tempat mereka seperti biasa.
Sebelum insiden berbalas tembakan berlaku, mata-mata Jaafar Hasan menembak mati seorang anggota Komunis yang dalam percubaan untuk memotong kawat duri yang merupakan benteng pertahanan balai polis tersebut. Kekuatan pihak polis pada ketika itu sangat kecil jika dibandingkan dengan pihak musuh. Namun, perkara itu tidak mengusik rasa takut mereka.
Kata-kata azimat yang dilaungkan oleh Sarjan Jamil, “Berpantang ajal sebelum maut,” telah menaikkan semangat mereka untuk berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Wajah-wajah orang tersayang serta maruah negara bangsa dijadikan sebagai azam untuk terus kekal fokus dalam pertarungan ini dan hanya membiarkan soal hidup mati mereka di tangan Tuhan.

Pertolongan Daripada Penduduk Kampung di Sekitar Bukit Kepong
Signifikan pemilihan sambutan Tahun Baru Cina sebagai hari untuk melancarkan serangan adalah untuk memastikan kekuatan anggota polis di tempat itu pada tahap minimum. Bukan itu sahaja, malah bunyi berbalas tembakan dan letupan bom juga boleh disalah tafsir sebagai bunyi mercun yang biasanya dimainkan pada perayaan ini.
Namun, kebenaran ini tidak dapat disembunyikan lama-lama. Penduduk Kampung Jawa bertindak menghantar sepasukan pengawal kampung bersenjata raifal dan senapang patah untuk membantu mereka. Walau bagaimanapun, pasukan tersebut terkandas di tengah jalan kerana diserang pihak Komunis.
Pada masa yang sama, sekumpulan orang awam dari Kampung Durian Chondong yang menaiki bot juga diserang hendap oleh pihak komunis. Mereka yang terselamat terus meneruskan perjalanan ke Lenga dan memaklumkan kepada pihak polis di sana.

Komunis Bertindak Kejam Dengan Melibatkan Ahli Keluarga Anggota Polis
Tiga jam kemudian, pihak komunis telah berjaya menjadikan beberapa ahli keluarga anggota polis sebagai tawanan iaitu Mariam Ibrahin (isteri Mata-Mata Mohammad Jaafar), Fatimah Yaaba (isteri Mata-Mata Abu Bakar Daud) serta anaknya, Hasan. Penangkapan tawanan ini bertujuan untuk mengugut pihak polis untuk meletakkan senjata dan menyerah. Usaha pihak Komunis itu yang hendak memadamkan api keberanian pihak polis ternyata tidak berjaya apabila Sarjan Jamil masih tetap terus berjuang.
Keputusan mereka untuk tidak tunduk kepada Komunis menyebabkan pasukan gerila itu bertindak zalim dan melibatkan insan yang tidak bersalah. Mereka bertindak untuk membunuh Fatimah dan mencederakan Mariam semasa pertempuran dilanjutkan. Satu persatu perajurit terkorban termasuklah dua wanita tersebut. Mereka telah mengangkat senjata setelah melihat suami tercinta mereka terbunuh.

Akhirnya, balai polis itu telah berjaya ditawan dan dibakar oleh pihak Komunis selepas lima jam pertempuran berlangsung. Balai polis itu juga dibakar bersama berek kelamin yang berada di belakangnya. Api yang membakar berek itu memerangkap wanita dan kanak-kanak yang berada di dalamnya dan ‘menelan’ jasad mereka sehingga rentung.
Bukan itu sahaja, malah pihak Komunis telah menghumban Hasan, anak Fatimah bersama mereka yang mengalami kecederaan parah ke dalam api dan membakar mereka hidup-hidup. Tiada perkataan yang mampu mengungkapkan kezaliman pihak Komunis pada ketika itu yang seolah-olah memperalatkan nyawa manusia demi kepentingan mereka.
Seramai 40 anggota Komunis menghilangkan diri dan pulang semula ke hutan setelah mereka sudah meragut 25 nyawa. Angka terkorban ini termasuklah pengawal kampung dan orang awam. Malangnya, hanya empat orang anggota polis dan sembilan orang ahli keluarga yang dapat menyelamatkan diri.
Impak Tragedi Ini Meninggalkan Kesan Parut Kekal Dalam Hati
Tragedi ini telah memberikan memori buruk kepada sesiapa yang terlibat. Meskipun tiada keluarga yang terkorban, bekas Mufti Johor, Datuk Dr Nooh Gadut dan keluarganya dapat merasai keadaan huru-hara darurat ketika itu sehingga mereka terpaksa berpindah-randah demi keselamatan diri.
“Bukit Kepong bersempadan dengan kampung asal saya, Kampung Tekam. Bapa membawa kami berpindah ke Kampung Bukit Senggir, Pogoh 2, Segamat demi keselamatan keluarga,”
Penasihat Majlis Agama Islam Johor itu memberitahu Sinar Ahad bahawa semasa Bukit Kepong diserang, beliau yang masih lagi kecil terpaksa meredah hutan rimba bersama 14 adik-beradiknya yang lain.

Kisah ini wajar dijadikan sebagai teladan. Sifat patriotisme dan cinta akan negara perlu disemat dalam hati rakyat Malaysia. Kata-kata azimat yang dilontarkan oleh Sarjan Jamil telah mengajar kita untuk tidak cepat berputus asa dan teruskan berdiri, walaupun sudah jatuh berkali-kali. Maruah negara bukanlah satu benda yang boleh dijual beli. Kesenangan yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil titik peluh perjuangan nenek moyang kita sehingga ke titisan darah terakhir. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Al-Fatihah.
Sumber: Astro Awani & Sinar Harian