Siakap Keli
kisah la doncella
Gambar: National Geographic

Kisah La Doncella, Budak Perempuan ‘Beku’ Lebih 500 Tahun Ditemui Atas Puncak Gunung

Tahukah anda, di sebuah muzium di Argentina, terdapat seorang ‘budak perempuan’ yang tidur lena dalam tempoh cukup panjang sejak ratusan tahun yang lalu?

Jika anda seorang penggemar bidang sejarah, arkeologi dan berkaitan dengannya, pasti artikel ini sangat menarik untuk anda baca kerana ia seolah-olah ‘membawa’ anda kembali sekejap ke zaman silam.

Berbalik kepada konteks, budak perempuan di muzium tadi dinamakan sebagai La Doncella atau The Maiden, seorang manusia yang ‘dibekukan’ sejak 500 tahun yang lalu sebelum mayatnya ditemui pada 1999.

Mengimbas kembali sejarah, La Doncella sebenarnya seorang budak perempuan yang pernah menjalani upacara pengorbanan di pergunungan Andes sewaktu empayar Inca di Argentina kira-kira 500 tahun dahulu.

Bukan dia sahaja yang ‘dikorbankan’, malah merujuk artikel National Geographic, terdapat dua kanak-kanak lain lagi yang turut ditinggalkan di puncak gunung berkenaan dalam keadaan kesejukan.

Menurut ahli arkeologi, sewaktu mayat-mayat ditemui (dalam keadaan beku), tubuh badan mereka dihiasi dengan pakaian jubah bersempena upacara berkenaan, selain tudung di kepala sebagai ‘tanda’ utusan ke syurga (fahaman mereka).

Gambar: National Geographic

Difahamkan, semasa ditinggalkan kesejukan di puncak gunung, gadis itu dipercayai meminum arak yang mampu membuatkan dia terlena, selain turut mengunyah daun ganja bagi menghilangkan rasa takut dengan aras tinggi.

Bagaimanapun seperti yang sudah ‘tertulis’, akibat tubuh tidak lagi mampu bertahan lebih lama menahan cuaca terlalu sejuk, ketiga-tiga mereka akhirnya menghembuskan nafas terakhir di puncak gunung tersebut.

Mereka bertiga mati sendiri di atas sana tanpa pengetahuan umum. Boleh dibayangkan, mayat mereka mulai tertimbus dek salji dan ‘tertanam’ sebagai mumia ‘semulajadi’ sebelum ditemui manusia zaman moden pada 500 tahun berikutnya.

Ketua ekspedisi National Geographic Explorer-in-Residence, Johan Reinhard yang menemui mayat tersebut berkata, dia menyifatkan penemuan mumia itu sebagai mumia paling sempurna pernah dilihatnya.

Gambar: Facebook Astro Lab

Maklum Johan, penemuan mayat La Doncella dan dua kanak-kanak itu telah mendedahkan mereka pelbagai maklumat tentang empayar Inca purba, termasuklah rambut bertocang halus yang dimiliki gadis itu.

“Penemuan mumia ketiga di puncak Andes itu merupakan kemuncak kerjaya dalam hidup saya. Mumia itu jauh lebih baik terpelihara daripada Ice Maiden,” katanya kepada National Geographic News pada tahun 2005.

Sebelum itu, Johan pernah mengalami peristiwa sama apabila dia berjaya menemukan mumia beku di satu lokasi di Peru yang digelar sebagai ‘Ice Maiden’ pada tahun 1995 dahulu.

Kini, setelah ‘dijaga rapi’, mumia La Doncella akhirnya dipamerkan secara terbuka untuk tontonan umum buat pertama kali di Muzium Arkeologi High Country di Salta, Argentina.

Bagi memelihara keaslian mumia itu, pihak muzium mempamerkannya dalam persekitaran sejuk dengan kadar oksigen yang rendah untuk menghasilkan semula suasana sebenar seperti kawasan tanah tinggi.

Manakala dua lagi mumia kanak-kanak itu dikatakan masih kekal dalam simpanan pihak arkeologi untuk kajian lanjut, jelas pegawai muzium.

Gambar: National Geographic
Kisah La Doncella
Gambar: National Geographic

Sumber: National Geographic

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?