Lelaki Disahkan Positif Covid-19, Cacar Monyet & HIV Secara Serentak Lepas Pulang Dari Bercuti
Seorang lelaki Itali dilapor telah disahkan positif Covid-19, cacar monyet dan HIV secara serentak, berdasarkan satu laporan oleh Journal Of Infection.
Pesakit berusia 36 tahun itu difahamkan menunjukkan simptom-simptom seperti keletihan, demam dan sakit tekak selepas sembilan hari pulang dari bercuti di Sepanyol.
Menurut laporan, semasa di Sepanyol, dia turut melakukan seks tanpa perlindungan.
Dia disahkan positif Covid-19 pada 2 Julai dan keesokannya dia mengalami ruam di sekitar anggota badannya.
Kemudian pada 5 Julai, ruam itu merebak menjadi benjolan-benjolan kecil. Dia kemudiannya dilaporkan pergi ke Hospital Palermo untuk membuat pemeriksaan sebelum disahkan menghidap penyakit cacar monyet.
Selain itu, dia juga dilaporkan turut menjalani saringan jangkitan seksual STI (Sexually Transmissible Infection) dalam masa yang sama dan disahkan positif HIV-1.
Penyelidik berkata jangkitan itu boleh diandaikan sebagai “agak baru”, memandangkan “kiraan CD4nya yang masih terpelihara.”
Ujian HIV yang dilakukan terhadap pesakit tersebut pada September tahun lalu adalah negatif.
Dia telah keluar dari hospital pada 11 Julai untuk kuarantin di rumah selepas pulih daripada Covid-19 dan cacar monyet. Lesi pada kulitnya juga telah sembuh dan hanya meninggalkan parut kecil.

Para penyelidik, dari Universiti Catania, menerusi laporan mereka menyatakan, “Kes ini menyerlahkan bagaimana gejala cacar monyet dan Covid-19 mungkin bertindih, dan menyokong bagaimana sekiranya berlaku jangkitan bersama, pengumpulan anamnestik dan tabiat seksual adalah penting untuk melakukan diagnosis yang betul.“
Laporan itu menyatakan ujian oropharyngeal cacar monyet akan kekal positif selepas 20 hari dan menunjukkan bahawa pesakit mungkin masih berjangkit selama beberapa hari selepas sembuh secara klinikal.
“Memandangkan ini adalah satu-satunya kes virus cacar monyet, SARS-CoV-2 dan jangkitan bersama HIV yang dilaporkan, masih tidak ada bukti yang mencukupi yang menyokong bahawa gabungan ini boleh memburukkan keadaan pesakit,” menurut laporan itu, namun perlu diingatkan “sistem penjagaan kesihatan perlu bersedia akan kemungkinan ini.”
Sumber : Mothership.sg