Remaja Ditahan Tikam Orang Awam, Dipercayai Tengah ‘Berlatih’ Nak Bunuh Keluarga Sendiri
Seorang gadis berusia 15 tahun ditahan selepas menyerang dan menikam dua orang awam di daerah Shibuya Tokyo, Sabtu lepas. Kedua-dua mangsa, seorang wanita berusia 53 tahun dan anak perempuannya, 19, mengalami kecederaan luka sedalam 10 cm dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Menurut laporan SCMP, gadis itu mengaku kepada polis bahawa serangan itu dibuat sebagai persiapan untuk membunuh keluarganya sendiri. Suspek dikatakan mahu melihat sama ada hasil tikaman tersebut boleh menyebabkan kematian atau tidak.
Remaja itu turut memaklumkan kepada polis bahawa dia berharap akan dikenakan hukuman mati selepas melakukan serangan tersebut.
Sebuah rakaman yang menunjukkan situasi selepas kejadian tersebut turut tular di media sosial. Orang awam dilihat cuba memberikan bantuan awal kepada mangsa manakala suspek cuba ditenangkan sementara menanti kehadiran polis. Tiga bilah pisau turut ditemui bersama-sama suspek.
Kejadian serangan itu nyata mengejutkan banyak pihak memandangkan Jepun terkenal sebagai sebuah negara yang sangat bertoleransi antara satu sama lain dan mempunyai tahap pemantuhan yang tinggi terhadap undang-undang.
Menurut kenyataan yang dibuat oleh seorang pakar penjagaan kanak-kanak, insiden berkenaan menunjukkan situasi mendesak yang membelenggu remaja di Jepun dimana mereka tidak mempunyai tempat untuk meluahkan masalah yang dihadapi.
”Masalah yang dihadapi oleh Jepun ketika ini adalah kanak-kanak tidak mengetahui cara yang betul untuk meluahkan perasaan mereka, tentang masalah dan tekanan yang dihadapi, yang selalunya berpunca daripada hubungan dalam sesebuah keluarga,” kata Fujiko Yamada, pengasas Pusat Pemulihan Kanak-kanak, sebuah organisasi bukan kerajaan yang menumpukan kepada kerja-kerja kebajikan kanak-kanak dan remaja.
Kurikulum sekolah di Jepun mempunyai Pendidikan Moral yang bersifat mandatori dimana murid-murid di ajar untuk menghormati , tidak mendikriminasi dan bertolak ansur dengan orang lain.
Bagaimanapun mereka tidak diajar cara untuk melindungi diri sendiri, sama ada secara fizikal mahupun mental.
BACA: Dua Lelaki Rompak RM65 Kedai Serbaneka, Dijel Tiga Tahun Dan Satu Sebatan
Sumber: SCMP