Bisa Bernilai, Peladang Ini Ternak Kala Jengking, Jual Bisa Harga Cecah RM 45 Juta Seliter
Siapa sangka, bisa yang ada kala jengking yang digunakan untuk melumpuhkan mangsa atau makanannya sebenarnya mempunyai manfaat tersendiri dalam dunia perubatan dan kosmetik. Malah, bisa haiwan ini juga boleh mengubah nasib seseorang apabila ia boleh dijual pada harga mencecah jutaan ringgit.
Metin Orenler, seorang lelaki berasal dari Turki berkongsi kisah bagaimana dia kini bergelar seorang pernternak kala jengking yang berjaya. Menurut Orenler, jika penternak lain memerah susu dari lembu atau kambing, dia pula ‘memerah’ bisa kala jengking untuk dijual.
Memetik laporan News ABC, Orenler mempunyai sebuah ladang ternakan yang menempatkan kira-kira 20,000 ekor kala jengking dari genus ‘Androctonus turkiyenis’. Haiwan-haiwan ini dipelihara di dalam kotak lutsinar dan ditempatkan dalam bangunan yang menyerupai makmal saintifik.
Setiap kala jengking menghasilkan kira-kira hanya 2 milimeter bisa setiap hari, yang dituai menggunakan sepasang pinset dan penyepit, sebelum dikeringkan untuk dieksport. Satu liter bisa haiwan itu mampu dijual pada harga RM 45 juta, kata Orenler.
Maka tak hairanlah, ada pihak sebelum ini menggambarkan bisa kala jengking sebagai cecair paling mahal di atas muka bumi.
Bisa kala jengking itu kemudian dieksport ke beberapa pasaran negara maju antaranya Perancis, United Kingdom, Jerman dan Switzerland. Ia digunakan dalam proses penghasilan produk kosmetik, ubat penahan sakit dan antibiotik.
@cgtneurope A lab in Türkiye milks 🥛scorpions 🦂for their venom and a liter of the poisonous juice can fetch up to $10 million. 🦂🦂🦂💵💵💵 #turkiye #scorpion
Bisa kala jengking, seperti bisa-bisa arachnid, mengandungi peptide dan protein yang berbeza dan ia boleh diasing serta dikaji.
Menurut seorang saintis, Volker Herzig, yang juga profesor di Universiti Sunshine Coast, bisa ini mungkin memberi kesan buruk kepada sesetengah hidupan, dan pada masa yang sama boleh memberi manfaat kepada hidupan yang lain pula.
Pasukannya kini sedang mengkaji potensi bisa untuk digunakan bagi merawat penyakit-penyakit tertentu. Volker turut mendedahkan bahawa bisa arachnid sangat menarik kerana ia sangat kuat dan bertindak dengan cara yang sangat spesifik.
”Katakan, sesuatu protein itu terlebih aktif dalam penyakit tertentu, jika anda dapat menemui (bisa) toksin yang dapat mengekang protein tersebut, ia akan menjadi sangat efektif.
”Kami meluangkan banyak masa mengkaji keupayaan bisa melibatkan saluran sodium dalam rasa sakit, dimana kami mendapati jika saluran berkenaan berjaya dihalang, maka rasa sakit juga dapat dihalang,” katanya lagi.
Sumber: ABC.Net