Gara-gara diminta ‘putus’, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun tekad menekup muka kekasihnya menggunakan bantal hingga maut dalam satu kejadian di Kampung Pandan, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada awalnya pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita di Bandar Saujana Putra yang juga merupakan rakan suspek.
Kata Hoong Fong, ia berikutan tindakan suspek yang bertindak menekup muka wanita tempatan berusia lingkungan 24 tahun itu dengan menggunakan bantal hingga tidak sedarkan diri.
“Mangsa telah dijumpai dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut.
“Pemeriksaan tubuh badan tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan. Pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa tersebut telah meninggal dunia,” katanya.
Difahamkan, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan oleh Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan beberapa barang yang boleh membantu siasatan turut ditemui.
Sementara itu, usaha suspek yang cuba berusaha melarikan diri akhirnya tidak kesampaian apabila dia ditangkap polis tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira dua jam kemudian.
“Suspek berumur 19 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek,” tambahnya.
Difahamkan, suspek direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos depan bagi membantu siasatan, manakala pakaian yang dipakainya semasa kejadian tersebut turut dirampas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, manakala siasatan selanjutnya masih berjalan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.
Sumber: FB Polis Klang Selatan