Siakap Keli
Pemandu Van
Gambar via @itslyzaa_ (Twitter)

Kes Ford Ranger Dilanggar Belakang, Pemandu Van Polis Juga Disaman

Pemandu van polis turut di saman kerana gagal mengawal kenderaan dalam kemalangan bersama pacuan empat roda jenis Ford Ranger di KM 16, Jalan Jerantut-Temerloh pada Jumaat. 

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof berkata, tindakan itu dibuat selepas melakukan siasatan  ke atas kejadian itu yang dilaporkan berlaku pada 20 Jun lalu lebih kurang jam 3 petang. 

“Bilik Gerakan Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang menerima makluman mengenai kejadian itu mengenal pasti kemalangan yang berlaku melibatkan sebuah van Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari IPD Lipis dan sebuah kenderaan orang awam.

“Dalam kejadian ini, pemandu dan penumpang dalam kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Sinar Harian. 

Menurutnya lagi, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya. 

Difahamkan, hasil siasatan dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Cawangan Temerloh mengarahkan pemandu kenderaan orang awam itu disaman selepas didapati menghalang lalu lintas di bawah Kaedah 12 (4) LN 166/59 iaitu kenderaan tidak boleh berhenti dan memotong di garisan putih berkembar bagi sebarang tujuan. 

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Temerloh telah mengeluarkan saman kepada pemandu kenderaan awam tersebut, manakala pemandu van polis juga telah disaman kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap tiada lagi spekulasi yang timbul terhadap tindakan PDRM dalam menjalankan tugas dengan penerangan yang telah diberikan. 

“Pihak PDRM mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan memberi maklumat bagi membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan serta menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya lagi, lapor Sinar Harian. 

BACA: Jaga-Jaga, Ribut Petir & Hujan Lebat Serta Angin Kencang Bakal Landa 12 Negeri Ini Hingga 7 Malam

Sumber: Sinar Harian

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.