BESUT, 23 Ogos 2022 – Hari ini telah diadakan Majlis Penyerahan Projek Kampus Baharu Politeknik Besut Terengganu (PBT) yang dihadiri oleh Puan Azlinda binti Azman, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Turut hadir ialah Dato’ Ir. Dr. Balamurugan a/l A.Gopal, Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Dr. Zubaidah binti Aman, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ir. Haji Md Ridzwan bin C. Chik, Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu serta pengurusan tertinggi JPPKK dan PBT.
PBT merupakan Politeknik ke-34 yang dibangunkan dalam sistem Politeknik Malaysia dan kini menjadikan sebanyak 4 buah kampus politeknik di Terengganu yang beroperasi ketika ini. PBT memulakan operasi di kampus sementara iaitu di Mas Sekupang, Mukim Kampung Raja, Besut pada sesi Jun 2017.
Kampus baharu ini dibina di Daerah Besut, Mukim Keluang di atas tapak berkeluasan 70 ekar dengan peruntukan kos awal sebanyak RM169 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-11 pada tahun 2016. Walaubagaimanapun, projek ini berjaya mencatatkan penjimatan kos sebanyak RM10 juta dengan kos akhir sebenar projek berjumlah RM159 juta.
Institusi ini bakal menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada bakal pelajar di seluruh negara amnya dan komuniti setempat khasnya. Kampus baharu PBT yang mempunyai fasiliti serba lengkap ini dilengkapi dengan kemudahan untuk pelajar dan warganya seperti kemudahan dua blok asrama pelajar yang mampu menampung kapasiti sehingga 480 orang, kafeteria, Student Plaza, Pusat Taska, Unit Kesihatan, Pusat Islam yang boleh memuatkan seramai 500 orang jemaah serta dewan utama dengan kapasiti 1000 orang pada satu-satu masa.
Selain itu, dalam menggalakkan warga kampus mengamalkan gaya hidup sihat, PBT turut dilengkapi dengan pusat sukan yang mempunyai kemudahan padang bola sepak, hoki dan futsal. PBT turut memiliki perpustakaan bagi menyokong proses pembelajaran pelajar ketika berada di kampus. Di samping itu, PBT turut dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar (WiFi) berkelajuan tinggi.
Jurusan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) (DDT) dan Pra Diploma Sains merupakan antara program sulung dan terawal yang ditawarkan di PBT ketika berada di kampus sementara. Setiap kursus tersebut telah menerima seramai 20 orang pelajar pada kohort pertama sesi Jun 2017. Setelah siapnya kampus baharu ini, dua (2) lagi program akan ditawarkan iaitu Diploma Design Craft (DDC) dan Diploma Apperal Batik (DAB) dalam bidang Seni Kreatif.
Sesi pengambilan pelajar baharu pula akan bermula pada Sesi II 2022/2023. Dengan kekuatan seramai 40 kakitangan yang terdiri daripada kakitangan akademik dan kumpulan pelaksana, ianya akan menjadi penandaaras kepada kakitangan yang baharu kelak bagi memastikan hala tuju dan kecemerlangan bidang pendidikan tinggi negara.
JPPKK juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JKR selaku agensi pelaksana walaupun pembinaan kampus baharu PBT ini melalui pelbagai cabaran terutama ketika negara mengalami krisis wabak COVID-19 yang secara tidak langsung telah menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang.