Baju Terkoyak & Jam Tangan Meletup, Pelajar Kolej Terselamat Disambar Petir Di Bahagian Dada
AMERIKA SYARIKAT – Seorang pelajar universiti berusia 18 tahun di University of West Florida dilapor terselamat setelah disambar petir pada hari pertama kelasnya bermula, lapor NDTV.
Semasa kejadian, Emma Eggler, 18 sedang berjalan menuju ke kelasnya dan secara tiba-tiba disambar petir di bahagian dada pada hari Isnin jam 2 petang (22 Ogos) ketika cuaca sedang hujan.
Dilaporkan dia terjatuh dan tidak dapat menggerakkan kakinya. Kesan sambaran menyebabkan bajunya terkoyak dan jam tangannya meletup.
Selain itu, kasut dan stokin yang dipakai turut berlubang apabila arus keluar dari badannya.
“Baju saya terbuka sepenuhnya kerana sambaran petir,” katanya kepada WEAR TV. “Ia mencair.”
“Saya dapat menanggalkan beg galas saya tetapi saya tidak dapat merasakan kaki saya langsung dan saya takut saya lumpuh dan saya benar-benar panik,” tambahnya.
Para pelajar dan kakitangan bergegas ke arah Emma untuk membantu dan segera membuat panggilan kecemasan.
Remaja itu berasa sangat bertuah selepas dihantar ke Hospital Sacred Heart di Pensacola.
“Ramai doktor memberitahu saya perlu membeli tiket loteri kerana saya sangat bertuah,” katanya kepada WEAR TV.
Media tempatan turut melaporkan bahawa selepas kejadian, Emma cuba menghubungi ibunya tetapi telefonnya rosak akibat disambar petir.
Kemudian dia meminta bantuan pelajar lain.“Dia sangat tenang. Saya fikir dia seorang kakitangan di universiti, bukan pelajar,” kata Emma kepada WKRG TV.
Emma merancang untuk kembali ke universiti pada minggu hadapan, menurut laporan TV WKRG.
Sumber : NDTV