Siakap Keli
kanak-kanak maut jatuh perigi
Gambar: TV 2M

Kanak-Kanak Dua Tahun Jatuh Perigi, Ditemui Meninggal Dunia

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terjatuh ke dalam sebuah perigi berkedalaman kira-kira 20 meter dalam satu kejadian di Ahad Benmossa, Morocco baru-baru ini.

Menurut Morocco World News, kanak-kanak lelaki tersebut terjatuh ke dalam perigi berkenaan pada petang Khamis, berdasarkan keterangan pihak berkuasa tempatan.

Pasukan keselamatan tempatan dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak di wilayah Fkih ben Salah bagi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan menggunakan jentera.

Difahamkan, mangsa berjaya dibawa naik ke atas kira-kira dua jam kemudian, bagaimanapun dia disahkan sudah meninggal dunia dipercayai akibat terperangkap.

Sementara itu, saluran televisyen Morocco, 2M melaporkan bahawa jenazah kanak-kanak itu telah dibawa ke sebuah hospital di Ben-Mellal untuk dibedah siasat.

Gambar: Morocco World News

Mengingatkan Terhadap Tragedi Adik Rayane

Berdasarkan laporan-laporan media tempatan, kejadian itu mengingatkan semua dengan tragedi yang mirip pernah menimpa Adik Rayane dalam satu kejadian pada Februari lalu.

Pada awal Februari tahun ini, Adik Rayane yang berusia lima tahun ketika itu terjatuh ke dalam sebuah perigi terbiar dengan kedalaman kira-kira 32 meter.

Kanak-kanak malang itu terperangkap di dalamnya selama empat hari ketika pihak penyelamat cuba untuk mengeluarkannya dari tempat tersebut.

Disebabkan bentuk bumi yang kompleks, pasukan penyelamat terpaksa untuk menggali lubang yang merentasi ratusan batu-batuan demi membuka jalan untuk menyelamatkan mangsa.

Seusai sahaja baru mengeluarkannya dari perigi tersebut, Adik Rayane disahkan sudah tidak lagi bernyawa, yang mana telah membawa pengakhiran pedih bagi penduduk dunia untuk beberapa hari.

Kredit: BBC

Tragedi itu mendorong seruan kepada pihak berkuasa untuk memperketatkan peraturan mengenai pembinaan telaga, bagi mengelakkan kemalangan serupa berlaku pada masa hadapan.

Walaupun kerajaan Morocco pernah menubuhkan jawatankuasa dan sistem untuk mengisi telaga yang tidak digunakan serta melaksanakan peraturan yang ketat, kejadian serupa masih berlaku di seluruh negara sejak kematian Adik Rayane.

Operasi penggerudian telaga di Morocco hanya boleh dijalankan dengan cara yang sah menerusi kebenaran rasmi dan mengikuti prosedur keselamatan.

Bagaimanapun ratusan laporan tempatan menunjukkan bahawa ramai orang yang menggerudi lubang air tersebut tanpa mengambil kira langkah keselamatan.

Difahamkan, penggerudian telaga secara sah boleh menelan kos sebanyak MAD 1,000 (RM421.98) bagi permohonan yang betul.

Walaupun kerajaan memperkenalkan langkah hukuman baharu berdasarkan tragedi kematian Adik Rayane, namun ia tidak banyak membantu untuk menjadikan pembinaan telaga yang sah di sisi undang-undang lebih berpatutan.

Selain isu keselamatan, penggerudian telaga haram juga boleh menyebabkan kebimbangan eksploitasi air kepada jiran.

Terdapat beberapa contoh penduduk memfailkan aduan terhadap jiran yang menggerudi telaga haram, memetik kebimbangan terhadap sumber air mengalir di kawasan perumahan mereka.

Sumber: Morocco World News

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.